MESKIPUN dengan keadaan sektor pelancongan yang terjejas teruk dek pandemik Covid-19, Singapura telah memperkenalkan beberapa tarikan baru tahun lalu dengan lebih banyak tarikan bakal dilancarkan tahun ini.
Langkah tersebut bertujuan mengekalkan daya tarikannya dan memperkenalkan pengalaman baru bagi warga Singapura dan pelancong yang dijangka meningkat tahun ini.
Antara tarikan baru yang bakal dibuka tahun ini termasuk 'Jewel-rassic Quest' di Jewel, Lapangan Terbang Changi yang menggunakan teknologi realiti terimbuh (AR) untuk membawa pengunjung ke 'zaman dinosaur' di mana mereka berpeluang berinteraksi dan mengambil bahagian dalam aktiviti bersama-sama dinosaur.
Beberapa konsep baru lain juga akan diperkenal termasuk 'Slingshot', 'Artyzen Singapore', dan ruang acara baru di Grange Road, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dalam satu sidang media, kelmarin.
Tarikan sedia ada seperti 'Wings of Time do Sentosa' dan taman permainan kanak-kanak Kidzworld di Taman Haiwan Singapura, bakal diberi suntikan nafas segar.
Butiran lanjut mengenai tarikan-tarikan tersebut bakal diumumkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, warga Singapura juga berpeluang menaiki kapal pelesiran ke negara lain lewat tahun ini dan STB kini dalam perbincangan dengan pihak berkuasa Asean.
Menurut penolong ketua eksekutif kumpulan dasar dan perancangan di STB, Cik Jeannie Lim, Singapura berada dalam kedudukan yang baik untuk melakukan demikian selepas menetapkan piawai pelayaran yang selamat.
"Kami kini sedang berbincang dengan pemerintah dari beberapa negara dalam usaha menyelaraskan piawai keselamatan pelayaran, sekurang-kurangnya akan ada persetujuan tentang protokol dan proses keselamatan yang perlu dipatuhi.
"Ini akan mengambil masa. Tapi kami harap dapat membuka semula beberapa tapak pelabuhan akhir tahun ini," katanya.
Buat masa ini, hanya 'cruises-to-nowhere' dibenarkan di Singapura sejak November 2020.
Hanya dua syarikat pelayaran dibenarkan menawarkan khidmat pelayaran di sini iaitu Dream Cruises oleh Genting Cruise Line dan Royal Caribbean International.
Menurut STB, orang ramai juga boleh menjangkakan kapal pelayaran Spectrum of the Seas oleh Royal Caribbean untuk kembali berkhidmat tidak lama lagi dengan tarikan baru.
Sebelum ini, Royal Caribbean berkata Spectrum of the Seas bakal menawarkan tiga hingga sembilan pelayaran pada waktu malam ke Malaysia, Thailand dan Vietnam mulai 21 Oktober tahun ini.
Menurut Cik Lim, tiada kelompok Covid-19 yang dikesan di kapal pelayaran sejauh ini, meskipun terdapat lima kes positif jangkitan yang dikesan di kededua khidmat kapal pelayaran itu.
Lebih 400,000 penumpang domestik telah belayar dalam sekitar 300 pelayaran sejauh ini.
Apabila ditanya sama ada pengendali lain telah membuat permohonan untuk mengendalikan khidmat pelayaran di sini, Cik Lim berkata STB sedang berbincang dengan beberapa syarikat yang sebelum ini biasanya menawarkan pelayaran ke luar negara.
Beberapa syarikat kapal pelayaran yang beroperasi sebelum pandemik termasuk Costa Cruises, Carnival Cruise Line dan Princess Cruises.
Di bawah protokol CruiseSafe, kesemua penumpang perlu menjalani ujian Covid-19 sebelum bertolak.
Penumpang juga perlu memakai pelitup muka sepanjang perjalanan dan mematuhi langkah pengurusan keselamatan.
Kededua kapal pelesiran World Dream Dream Cruises dan Royal Caribbean menetapkan bahawa semua penumpang berusia 12 tahun ke atas perlu divaksin penuh.
PELUANG NAIK KAPAL PELESIRAN KE NEGARA LAIN
"Kami kini sedang berbincang dengan pemerintah dari beberapa negara dalam usaha menyelaraskan piawai keselamatan pelayaran, sekurang-kurangnya akan ada persetujuan tentang protokol dan proses keselamatan yang perlu dipatuhi.
Ini akan mengambil masa. Tapi kami harap dapat membuka semula beberapa tapak pelabuhan akhir tahun ini." - Penolong Ketua Eksekutif Kumpulan Dasar dan Perancangan di STB, Cik Jeannie Lim.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg