Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dialog mengenai topik sukar cerminan perpaduan sosial

Oct 6, 2025 | 5:30 AM
Dialog ‘Gaza Dari Lensa Kita’, BH, ZB, perpaduan sosial 
Siri dialog terbuka, ‘Gaza Dari Lensa Kita’ – kerjasama pertama seumpamanya antara Berita Harian dengan Lianhe Zaobao – mengumpulkan enam peserta daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi perspektif masing-masing mengenai situasi Gaza dan kesannya ke atas masyarakat Singapura berbilang kaum dan agama. - Foto ZAOBAO

Tidak dapat dinafikan penderitaan rakyat Palestin bukan sahaja krisis kemanusiaan sejagat, ia sesuatu yang amat dekat di hati mereka.

Isu ini pernah diketengahkan di Parlimen oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, malah turut didengarkan dalam khutbah Jumaat di masjid-masjid kita.

Bagi masyarakat Melayu/Islam setempat, Palestin bukan isu yang ‘jauh di negeri orang lain’, sebaliknya isu di Gaza merupakan konflik yang benar-benar menyentuh hati dan meninggalkan kesan mendalam.

Meskipun demikian, dalam masyarakat majmuk dan berbilang agama seperti Singapura, perbincangan mengenai keprihatinan seperti ini tidak harus dihadkan kepada segmen tertentu dalam masyarakat, ini akan menyebabkan ruang untuk berdialog menjadi terlalu sempit.

Perbincangan mengenai isu-isu sensitif seperti konflik Gaza memang bukan sesuatu yang mudah atau selesa.

Malah kami juga menghadapi masalah mencari peserta bukan Melayu/Islam yang rela tampil dan menyumbangkan buah fikiran mengenai topik ini.

Namun, cabaran yang kami hadapi menjadikan dialog seperti ini lebih bermakna.

Apabila Berita Harian (BH) dan akhbar harian berbahasa Cina, Lianhe Zaobao (ZB), menghimpunkan warga Singapura daripada pelbagai latar kaum, agama dan kerjaya untuk membincangkan isu konflik di Gaza dalam satu dialog, tujuan utamanya bukan untuk mencari kata sepakat.

Ia juga bukan untuk membuat semua peserta pulang dengan rasa prihatin yang sama mendalam seperti masyarakat Melayu/Muslim.

Tujuannya adalah untuk menguji sama ada kita mampu berdepan dengan isu yang begitu rumit dan sarat dengan emosi ini – duduk bersama, saling mendengar – tanpa ‘bersembunyi’ di sebalik kenyataan yang terlalu ‘selamat’ atau memilih untuk berdiam diri.

Sepanjang mendengar perbualan antara peserta, jelas bahawa nilai dialog bukan terletak pada persetujuan antara peserta yang dibuat dengan penuh berjaga-jaga, tetapi pada detik-detik tegang yang menzahirkan perbezaan.

Salah satu ‘perbezaan pendapat’ awal mendedahkan bagaimana warga Singapura melihat isu Gaza ini dengan cara berbeza.

Pensyarah (Hubungan Antarabangsa) dari Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Felix Tan, 52 tahun, berhujah bahawa isu Gaza tidak sepatutnya dilihat sebagai isu emosi semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata ia juga masalah undang-undang dan undang-undang antarabangsa: Jika tiada pihak dapat mempertahankan sistem itu, “Apa yang tinggal? Apa akan berlaku pada masyarakat secara keseluruhan?”.

Pandangan ini dicabar Profesor Madya (Sains Politik) dari Sekolah Sains Kemasyarakatan NTU, Dr Walid Jumblatt Abdullah.

Dr Walid, 40 tahun, tidak bersetuju dan menegaskan: “Kalau saya tidak boleh (meluahkan) emosi tentang hal ini, bila lagi? Perasaan inilah yang menjadikan kita manusia.”

Namun beliau juga akur persoalan sebenar adalah bagaimana emosi tersebut boleh disalurkan secara berkesan dalam konteks Singapura.

Sepanjang dialog, memang wujud saat-saat tegang, namun itulah nilai sebenar apabila kita wujudkan ruang selamat untuk membincangkan topik sukar.

Ia memberi peluang untuk kita bertanya soalan ‘panas’, membuat kenyataan yang tidak selesa, dan mengakui apa yang kita tidak tahu tanpa rasa takut.

Sepanjang perbincangan tersebut, satu perkara kekal terserlah – iaitu pentingnya rasa ihsan dan empati jika kita ingin dialog seperti ini diteruskan.

Apabila isu-isu sensitif diketepikan – bak pepatah Inggeris kerana enggan rock the boat atau menyebabkan sebarang kekecohan – kita mungkin tersilap anggap dan melihat tindakan berdiam diri dan mengelak daripada perbincangan isu sensitif sebagai ‘keharmonian’ atau ‘perpaduan’.

Mengelak perbincangan isu sensitif – sama ada mengenai Gaza, isu perkauman atau ketidaksamarataan – tidak mengekalkan perpaduan.

Sebaliknya, ia hanya membiarkan suara paling lantang dan yang berniat untuk memecahbelahkan berleluasa – terutama dalam talian – tanpa perbincangan melalui dialog yang sihat.

Dialog hasil kerjasama BH/ZB ini menunjukkan perbincangan seperti ini boleh diadakan, tetapi juga mendedahkan kekurangan kita.

Ramai akur mereka kurang kefahaman sejarah untuk menyelami isu secara lebih mendalam. Ada pula yang bimbang menyinggung sahabat daripada kaum atau agama lain hanya kerana “memuat naik pos mengenai Palestin di media sosial”.

Tanda-tanda ini mungkin ‘amaran awal’ yang tidak boleh dipandang ringan kerana sebuah masyarakat yang sering mengelak isu sukar mungkin satu hari tidak mampu langsung untuk berbicara tentangnya.

Perpaduan sosial bukan bermaksud tiada perbezaan, tapi keupayaan menangani perbezaan itu dengan penuh maruah dan saling hormat.

Perbezaan pendapat pasti timbul, namun kejujuran dan keterbukaan membolehkan peserta berhubung dengan lebih mendalam.

Itulah nilai sebenar dialog.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg