Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dian@M³ usaha bantu keluarga penuhi aspirasi miliki rumah

Maliki: Fokus bantu keluarga tangani isu sosioemosi, kewangan
Aug 20, 2022 | 5:30 AM
TEMUI PENDUDUK: (Dari kanan) Encik Fahmi dan Dr Maliki mengunjungi rumah keluarga Melayu/Islam yang menetap di flat sewa di Blok 1 Eunos Crescent yang merupakan sebahagian daripada Projek Dian@M³. - Foto PA MESRA
TEMUI PENDUDUK: (Dari kanan) Encik Fahmi dan Dr Maliki mengunjungi rumah keluarga Melayu/Islam yang menetap di flat sewa di Blok 1 Eunos Crescent yang merupakan sebahagian daripada Projek Dian@M³. - Foto PA MESRA -

PELBAGAI langkah telah dilakukan bagi membantu keluarga Melayu/Islam keluar dari flat sewa dan usaha terus dilakukan bagi membolehkan mereka memiliki flat sendiri.

Usaha terbaru menerusi Projek Dian@M³ akan membantu keluarga di flat sewa beralih daripada pekerjaan bergaji hari atau yang tidak menyumbang kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) kepada pekerjaan lebih stabil dan menyumbang caruman itu.

Ini bagi menangani salah satu daripada dua isu besar yang dihadapi banyak keluarga Melayu/ Islam yang menetap di flat sewa - kestabilan kewangan.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, berkongsi demikian dengan Berita Harian (BH) ketika ditemui semasa membuat lawatan ke rumah sewa di Blok 1 Eunos Crescent baru-baru ini sebagai sebahagian usaha Projek Dian@M³.

Isu besar kedua menurut beliau menyentuh soal sosioemosi lain.

"Pemilikan rumah bukan setakat memiliki rumah sahaja, kita juga mesti dapat menampung rumah itu dan memastikan ia stabil.

"Banyak keluarga yang kita temui, mereka berdepan lebih daripada hanya cabaran kestabilan kewangan," kata beliau.

Justeru, Dr Maliki menekankan membantu keluarga yang tinggal di flat sewa untuk memiliki rumah mereka sendiri bukanlah proses yang jelas dan mudah.

Sering kali, keluarga-keluarga ini berdepan dengan pelbagai isu sosial yang perlu ditangani dahulu sebelum isu pemilikan rumah boleh dibawa bincang.

Projek Dian@M³ sedang berusaha gigih membantu seberapa banyak keluarga mengatasi isu-isu tersebut.

Dilancarkan pada Jun tahun lalu, usaha tersebut bertujuan mendekati keluarga di rumah sewa untuk memberi sokongan menyeluruh, dengan harapan dapat mendorong mereka beralih keluar daripada 'kepompong' rumah sewa kepada memiliki rumah sendiri.

Projek itu, antara lain, membimbing keluarga ini mendapatkan pekerjaan tetap dan stabil, selain memudahkan anak mereka memasuki prasekolah atau memastikan mereka hadir di sekolah.

Menyentuh langkah memperkukuh keadaan kewangan mereka, Dr Maliki menambah:

"Banyak keluarga yang kita temui, mereka rasa pendapatan mereka cukup stabil kerana mereka boleh menampung kehidupan seharian keluarga, tetapi bagi mereka mempunyai lebihan wang yang memastikan mereka mampu bayar hutang rumah, itu agak sukar.

"Ini kerana ramai di antara mereka yang mempunyai pekerjaan yang membayar gaji secara harian atau yang tidak menyumbang kepada CPF, jadi mereka mendapat gaji untuk menampung kehidupan harian, tidak memiliki simpanan... dan untuk memiliki rumah, anda perlukan (simpanan) itu."

Turut berkongsi perkara serupa, Mayor CDC South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, yang berkata antara cabaran utama dihadapi para sukarelawan terlibat dalam projek ini ialah cara pemikiran keluarga yang cuba dibantu.

"Kebanyakan mereka kerja delivery atau secara sambilan, jadi kita cuba beritahu mereka mengapa tidak cari pekerjaan yang lebih stabil. Sebahagian keluarga ini mahu cuba, tetapi ada juga yang enggan disebabkan isu fleksibiliti.

"Itu sebabnya kami menyediakan sumber sokongan secara menyeluruh untuk membantu mereka agar mereka dapat mencari masa bekerja secara lebih 'normal' dan stabil," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg