Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Didakwa buat isytihar palsu untuk tidak jalani SHN di kemudahan khusus

Mar 20, 2021 | 5:30 AM
8b28d410-75ae-4f87-beaf-2786f57f78c8
-

SEORANG warga Singapura berusia 58 tahun didakwa di mahkamah semalam kerana membuat pengisytiharan palsu dalam permohonannya untuk tidak menjalani Perintah Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di kemudahan khusus, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Vijeyakumar Z. Joseph didakwa menyatakan dalam borang pengisytiharan fizikal di Lapangan Terbang Changi pada 22 November tahun lalu bahawa dia tidak melakukan perjalanan, sepanjang 14 hari sebelum memasuki Singapura, ke mana-mana negara atau wilayah lain selain yang disenaraikan, kata ICA.

Bagaimanapun, dia didapati pulang dari Jakarta, yang tidak termasuk dalam senarai itu.

Sejak 2 November lalu, pengunjung dari beberapa negara terpilih - tidak termasuk Indonesia - boleh memohon tidak menjalani SHN di kemudahan khusus dan melakukannya di tempat kediaman, tertakluk pada syarat.

Senarai negara yang dikemas kini boleh didapati di laman ICA.

"Vijeyakumar juga didakwa mengisytihar dalam borang itu bahawa dia akan tinggal di tempat kediamannya sendirian atau dengan anggota serumah yang mempunyai sejarah perjalanan sama sepertinya dan menjalani SHN mereka semasa tempoh sama," tambah ICA.

Dia kemudian dikenakan SHN di tempat kediamannya di Ang Mo Kio dari 22 November hingga 6 Disember.

Semasa pemeriksaan pada 25 November, pegawai penguatkuasa mendapati dia tinggal bersama abang dan bapanya, yang tidak mempunyai sejarah perjalanan sama sepertinya.

Mereka yang didapati bersalah sengaja memberi maklumat palsu atau mengelirukan apabila diperlukan di bawah Akta Penyakit Berjangkit boleh didenda hingga $10,000 dan dipenjara hingga enam bulan.

Vijeyakumar akan kembali ke mahkamah pada 9 April.

Sejak 11 Ogos tahun lalu, semua pengunjung yang menjalani SHN di luar kemudahan khusus perlu memakai alat pemantauan elektronik sepanjang tempoh SHN mereka.

Rejim pemantauan dipertingkat itu membolehkan pemerintah melaksana pendekatan berdasarkan risiko. Pengunjung dari negara dan wilayah terpilih juga boleh menjalani SHN 14 hari di tempat kediaman, kata ICA.

Ia juga memberi amaran kepada orang ramai "supaya memberi maklumat benar dan tepat bagi semua pengisytiharan berkaitan kesihatan, perjalanan dan SHN".

Jika tidak, mereka boleh menghadapi "tindakan penguatkuasaan tegas".

"Pematuhan ketat keperluan SHN ialah kunci dalam melindungi kesihatan dan keselamatan penduduk kita. Semua pengunjung yang memilih menjalani SHN di tempat kediaman mereka mesti kekal di situ pada setiap masa.

"Pergerakan mereka akan dipantau menerusi pemantauan elektronik dan pemeriksaan fizikal rambang," kata ICA.

Mereka yang tidak mematuhi syarat SHN, termasuk orang yang mengganggu dan menanggalkan alat pemantauan elektronik semasa tempoh SHN boleh didakwa di bawah Peraturan Penyakit Berjangkit (Covid-19 - Perintah Tinggal).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg