Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Didenda $6j kerana elak GST bagi 1,828 kereta import

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Didenda $6j kerana elak GST bagi 1,828 kereta import

Jan 22, 2024 | 03:57 PM



Seorang lelaki warga Singapura didenda $6 juta oleh Mahkamah Negara pada 19 Januari kerana mengelak membayar duti dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas 1,828 kereta yang diimport ke Singapura antara April 2017 dan Jun 2021.

Memandangkan dia gagal membayar denda itu, Low Han Siang, pemilik tunggal pengimport kereta M’ Exclusive, akan menjalani hukuman penjara 60 bulan.

Low, 46 tahun, juga dihukum penjara sembilan bulan kerana membayar kurang daripada sepatutnya Yuran Pendaftaran Tambahan (ARF) semasa pendaftaran kenderaan tersebut.

ARF ialah cukai yang dikenakan apabila kenderaan didaftarkan, dikira berdasarkan peratusan Nilai Pasaran Terbuka kenderaan tersebut.

Dalam satu kenyataan pada 22 Januari, Kastam Singapura berkata Low mengaku bersalah bagi dua tuduhan di bawah Akta Kastam kerana mengelak membayar duti berjumlah sekitar $1,819,865 untuk import 1,141 kereta, dengan 13 lagi tuduhan diambil dalam pertimbangan semasa hukuman dijatuhkan.

Daripada 13 tuduhan itu, dua ialah mengelak membayar GST berjumlah sekitar $764,343 melibatkan kereta sama, enam ialah mengelak membayar duti dan GST bagi import 687 kereta sebanyak $679,072, dan lima ialah menyebabkan pengisytiharan tidak betul.

Low juga mengaku bersalah bagi dua tuduhan memberi maklumat tidak betul di bawah Seksyen 11(9) Akta Lalu Lintas Jalan Raya berhubung 738 kereta.

Empat lagi pertuduhan mengenai memberi maklumat tidak betul di bawah Seksyen 11(9) Akta Lalu Lintas Jalan Raya berhubung 1,033 kereta juga diambil dalam pertimbangan semasa hukuman dijatuhkan.

Maklumat salah itu membawa kepada kekurangan ARF sebanyak $16,256,433.

Kastam Singapura melancarkan siasatan ke atas M’ Exclusive selepas mengesyaki nilai kereta yang diserahkan kepadanya untuk penilaian duti dan GST yang perlu dibayar kurang diisytiharkan.

Siasatan mendedahkan antara April 2017 dan Jun 2021, Low membuat invois palsu atau meminta pembekal kenderaan mengeluarkan invois berganda yang tidak mencerminkan nilai sepenuhnya bagi menyembunyikan nilai sebenar kereta yang diimport.

Invois tersebut diserahkan kepada Kastam Singapura untuk penilaian duti dan GST.

Nilai yang diisytiharkan untuk 1,828 kereta antara April 2017 dan Jun 2021 mengakibatkan pembayaran duti dan GST yang kurang sekitar $3,263,280.

Siasatan juga mendedahkan Low mengarahkan seorang pekerjanya, Lee Pak How, seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura berusia 33 tahun, memalsukan invois dengan nilai yang ditentukan oleh Low.

Lee didenda $10,000 oleh Mahkamah Negara pada 13 Januari selepas mengaku bersalah bagi satu pertuduhan memalsukan dokumen, manakala satu lagi tuduhan serupa diambil dalam pertimbangan semasa hukuman dijatuhkan.

Mereka yang terlibat mengelak membayar sembarang duti atau GST berkaitan barangan yang diimport boleh didenda hingga 20 kali ganda jumlah duti dan GST yang dielakkan dan dipenjara hingga dua tahun.

Sesiapa yang memalsukan dokumen, atau membuat sembarang pengisytiharan tidak benar atau tidak lengkap boleh dikenakan hukuman denda hingga $10,000, atau bersamaan dengan jumlah duti dan GST yang perlu dibayar, atau penjara hingga 12 bulan, atau kedua-duanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >