SEORANG suri rumah yang dijangkiti Covid-19 pada Februari tahun lalu daripada kelompok Safra Jurong dijatuhi hukuman penjara lima bulan kerana didapati bersalah tidak memberi maklumat tepat bagi tujuan jejak kontak.

Oh Bee Hiok yang dijangkiti virus itu pada 26 Februari gagal memberitahu pegawai Kementerian Kesihatan (MOH) bahawa dia bertemu seorang rakan lelaki rapat pada awal bulan itu.

Oh, 65 tahun, khuatir keluarganya akan mengesyaki dia mempunyai hubungan dengan lelaki tersebut, Encik Lim Kiang Hong, yang turut dijangkiti Covid-19 pada 20 Mac tahun lalu.

Semalam, mahkamah diberitahu bahawa kesalahan Oh hanya terdedah selepas siasatan yang dilakukan mendapati maklumat yang termasuk rekod tempat letak kereta kenderaan yang dipandunya dan Encik Lim.

Pegawai MOH yang menemuramah Encik Lim turut mendapati beliau bertemu Oh beberapa kali antara 4 dan 20 Februari itu.

Dalam memohon agar anak guamnya dijatuhkan hukuman denda sahaja, peguam bela Goh Teck Wee memberitahu Hakim Daerah Marvin Bay bahawa Oh tidak menjangkiti Lim.

Namun, dia menyebar virus itu kepada cucunya sendiri, menurut laporan The Straits Times.

Oh menghadiri majlis jamuan malam di restoran Joy Garden di Safra Jurong pada 15 Februari itu, yang turut menyaksikan 47 kes daripada kelompok tersebut.

Pada 24 Februari, dia dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) selepas mengalami demam dan disahkan positif Covid-19 dua hari kemudian.

Dalam menjatuhkan hukuman ke atas Oh, Hakim Bay menyifatkan usaha menjejak kontak sebagai satu wadah penting dalam memerangi pandemik Covid-19 di negara ini.

"Walaupun saya faham alasan yang mendorong Cik Oh merahsiakan perjumpaannya dengan Encik Lim, saya juga setuju bahawa ia adalah alasan yang hanya mementingkan diri sendiri," kata beliau.

Oh, yang dibebaskan dengan ikat jamin $15,000, akan mengemukakan rayuan terhadap hukumannya.

Mereka yang didapati bersalah di bawah Akta Penyakit Berjangkit boleh dihukum penjara hingga enam bulan atau denda $10,000 bagi kesalahan pertama.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti