Topik diikuti
Pergi ke BHkuDiplomat veteran, Tommy Koh, diiktiraf Anugerah Ramon Magsaysay 2026
Diplomat veteran, Profesor Tommy Koh, telah dinobatkan sebagai salah seorang daripada tiga pemenang Anugerah Ramon Magsaysay 2026.
Anugerah yang dinamakan sempena mantan presiden ketujuh Filipina itu ditubuhkan pada 1957 sebagai peringatan kepadanya, mengiktiraf individu dan organisasi yang menyumbang secara signifikan kepada rantau Asia.
“Kami amat berbangga kerana Profesor Tommy Koh dari Singapura menerima pengiktirafan ini,” kata Kedutaan Singapura di Manila dalam catatan Facebook pada 31 Ogos.
Kedutaan itu menyatakan bahawa kerjaya Profesor Koh telah merentasi lebih lima dekad dalam bidang diplomasi, undang-undang antarabangsa dan perkhidmatan awam.
Profesor Koh pernah berkhidmat sebagai presiden Persidangan Ketiga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut dan memainkan peranan penting dalam membawa rundingan Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) kepada penyelesaian yang berjaya pada 1982.
Beliau turut mempengerusikan rundingan pada Sidang Kemuncak Bumi PBB 1992 dan mempengerusikan Pasukan Tugas Peringkat Tinggi yang menggubal Piagam Asean pada 2007, kata kedutaan itu.
Selain diplomasi, Profesor Koh turut menyumbang kepada bidang pendidikan dan wacana awam di Singapura, termasuk sebagai rektor pengasas Kolej Tembusu di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Kedutaan itu berkata anugerah tersebut diterima Profesor Koh sejurus sebelum beliau menamatkan tugasnya sebagai Duta Kelana di Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura.
Profesor Koh merupakan warga Singapura keempat yang menerima anugerah itu, menyusuri jejak langkah mantan Menteri Pembangunan Negara, Encik Lim Kim San, yang menerima anugerah tersebut pada 1965; mantan Menteri Pertahanan ketika itu, Encik Goh Keng Swee, pada 1972; dan pengasas Willing Hearts, Encik Tony Tay, pada 2017.
“Tahniah, Profesor Koh, atas pengiktirafan penting ini,” kata kedutaan itu.
Penerima lain anugerah ini ialah ahli kemanusiaan Bangladesh, Cik Runa Khan; dan aktivis Myanmar, Encik Bo Kyi.
