Disiplin dan etika kerja tinggi merupakan antara nilai yang ditonjolkan bapa kepada Leftenan Muda (2LT) Muhammad Naqeeb Mohamed Yasser tatkala beliau dibesarkan.
Menurut anak sulung dalam dua beradik itu, ayahnya, Encik Mohamed Yasser Abd Raub, 46 tahun, tidak akan berehat selagi mana satu pekerjaan belum diselesaikan.
“Ayah akan memastikan pekerjaan yang diamanahkan dibuat dengan tekun dan teliti agar ia dilakukan sekali lalu.
“Sifat disiplin ini begitu menyerlah kerana beliau memastikan pekerjaan itu disiapkan dengan baik,” ujar pegawai sepenuh masa berusia 21 tahun itu.
Beliau berkongsi bahawa ayahnya merupakan pengurus besar bagi syarikat motosikal Jepun, Suzuki Singapore, manakala ibunya, Cik Norlya Masyani Massaid, 46 tahun, merupakan penasihat fesyen kanan di Chanel.
Nilai sebeginilah yang ingin 2LT Naqeeb terapkan kepada anak buahnya selepas menggalas tanggungjawab sebagai pegawai tentera dalam unit Guards.
Beliau merupakan salah seorang daripada 402 pegawai daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), dan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) yang diberi pentauliahan semasa acara Perbarisan Pentauliahan Kursus Pegawai Kadet (OCCP) di Institut Ketenteraan Safti pada 8 Jun.
Acara tersebut turut menyaksikan beliau menjadi salah seorang daripada 35 penerima Pedang Merit – anugerah itu diberikan kepada pelatih dalam 10 peratus teratas Sekolah Pegawai Kadet (OCS).
Menurutnya, pengalaman menjalani latihan sebagai pelatih secara keseluruhan membentuk jati dirinya kerana ia sesuatu yang mengukuhkan daya tahan dan semangat setiakawan.
Beliau menjelaskan: “Segmen paling mencabar dalam latihan saya adalah apabila kami perlu belajar pengkhususan kami yang berbeza – bagi saya ialah kenderaan Terrex.
“Ini setelah ia bukan sahaja mencabar dari segi fizikal, ia juga memerlukan saya untuk mempelajari pelbagai maklumat tentang kenderaan tersebut dan memanfaatkan apa yang saya pelajari pada waktu yang singkat.”
Berkongsi misi peribadinya, 2LT Naqeeb berkata beliau yakin dengan falsafah menjadi ketua melalui teladan.
Bekas pelajar Diploma Kejuruteraan Aeronautik di Politeknik Singapura itu menjelaskan bahawa sebagai ketua, beliau harus mengorak langkah pertama dan menetapkan standard dalam dirinya terdahulu sebelum menerapkannya kepada anggota lain.
“Bagi anggota yang saya ketuai untuk mencapai taraf (yang saya tetapkan), saya terdahulu perlu menjadi individu yang perlu mencapai dan memberi contoh taraf sedemikian supaya mereka boleh mempercayai bahawa taraf sedemikian boleh dicapai.
“Saya menghargai kejujuran dan rasa hormat dengan individu yang saya bekerjasama kerana tanpa kededua nilai ini juga, sukar untuk menjalin kepercayaan (sesama anggota).
“Saya juga percaya dalam keberanian moral dan sikap tulen kerana tidak perlu untuk sembunyikan keperibadian sebenar seseorang,” tambahnya.
“
Ayah akan memastikan pekerjaan yang diamanahkan dibuat dengan tekun dan teliti agar ia dilakukan sekali lalu. Sifat disiplin ini begitu menyerlah kerana beliau memastikan pekerjaan itu disiapkan dengan baik... Saya menghargai kejujuran dan rasa hormat dengan individu yang saya bekerjasama kerana tanpa kededua nilai ini juga, sukar untuk menjalin kepercayaan (sesama anggota).

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg