Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ditahan bawah ISA, Zulfikar dituduh buat kenyataan palsu semasa mohon pasport

Oct 9, 2020 | 5:30 AM
ZULFIKAR MOHAMAD SHARIFF
ZULFIKAR MOHAMAD SHARIFF -

SEORANG lelaki yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dalam kegiatan berkaitan pengganasan didakwa di mahkamah semalam berhubung satu tuduhan berkaitan pasport.

Zulfikar Mohamad Shariff, 49 tahun, yang sebelum ini memiliki kerakyatan Singapura dan Australia, menghadapi satu tuduhan membuat kenyataan palsu dalam Sistem Permohonan Bagi Pasport Elektronik Dalam Talian berhubung satu permohonan bagi pasport Singapura pada 11 Disember 2013.

Menerusi satu kenyataan semalam, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata Zulfikar telah melepaskan kerakyatan Singapuranya dan bukan lagi warga Singapura sejak 26 Ogos lalu.

Menurut kertas pertuduhan, dia mengisytiharkan bahawa dia tidak memperoleh kerakyatan negara lain semasa membuat permohonan bagi pasport Singapura itu meskipun dia tahu ini tidak benar.

Kertas pertuduhan itu juga menyatakan Zulfikar merupakan seorang warga Australia.

Zulfikar yang diwakili peguam Lock Zhi Yong dijangka mengaku bersalah pada 22 Oktober.

Menurut MHA, Zulfikar ditangkap oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) di Singapura dan telah ditahan di bawah ISA sejak Julai 2016 kerana dia giat menggalak pengganasan dan mengagungkan kumpulan pengganas ISIS di dalam talian.

Perbuatannya menyumbang kepada sekurang-kurangnya dua lelaki warga Singapura - Muhammad Shamin Mohamed Sidek dan Mohamed Saiddhin Abdullah - menjadi radikal.

Muhammad Shamin ditahan di bawah ISA kerana terlibat dalam kegiatan berkaitan pengganasan manakala Arahan Sekatan (RO) yang dikenakan terhadap Mohamed Saiddhin berakhir pada 26 Julai lalu.

"Zulfikar juga telah menggesa Muslim menolak negara berperlembagaan, sekular dan demokratik untuk menyokong penubuhan negara Islam yang diperintah undang-undang syariah.

"Dia juga percaya bahawa keganasan harus digunakan untuk mencapai matlamat tersebut jika perlu," kata MHA.

Menurut MHA, Zulfikar telah berpindah ke Australia bersama keluarganya pada 2002.

Semasa disiasat ISD serta Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), MHA berkata Zulfikar mengaku masuk ke Singapura menggunakan pasport Singapuranya dan menyembunyikan maklumat tentang kerakyatan Australianya.

"Dia juga mengaku membuat pengisytiharan palsu kepada ICA bahawa dia tidak memiliki kerakyatan negara lain semasa memohon untuk memperbaharui pasport Singapuranya pada 2013 kerana tidak mahu melepaskan kerakyatan (Australia atau Singapuranya)," ujar MHA.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara hingga 10 tahun dan didenda hingga $10,000.

Zulfikar hadir di mahkamah sekitar 12 tengah hari semalam dengan memakai baju penjara berwarna ungu.

Dia difahamkan masih berada di dalam tahanan dan oleh itu tidak ditawarkan ikat jamin.

ISU PENGGANASAN

"Zulfikar juga telah menggesa Muslim menolak negara berperlembagaan, sekular dan demokratik untuk menyokong penubuhan negara Islam yang diperintah undang-undang syariah. Dia juga percaya bahawa keganasan harus digunakan untuk mencapai matlamat tersebut jika perlu...

ISU PASPORT

Dia juga mengaku membuat pengisytiharan palsu kepada ICA bahawa dia tidak memiliki kerakyatan negara lain semasa memohon untuk memperbaharui pasport Singapuranya pada 2013 kerana tidak mahu melepaskan kerakyatan (Australia atau Singapuranya)."

- Kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg