Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Diuji barah tahap 4, murid cekalkan semangat untuk lulus GCE ‘N’

Dec 16, 2024 | 7:28 PM
Muhammad Qu’syairie Abdullah, 17 tahun, bersama ibunya, Cik Nurqariah Osman, 42 tahun. Qu’syairie adalah antara 9,369 calon kursus Menengah 4 Normal (Akademik) (NA) yang menerima keputusan peperiksaan GCE Peringkat N(A) 2024 pada 16 Disember. 
Muhammad Qu’syairie Abdullah, 17 tahun, bersama ibunya, Cik Nurqariah Osman, 42 tahun. Qu’syairie adalah antara 9,369 calon kursus Menengah 4 Normal (Akademik) (NA) yang menerima keputusan peperiksaan GCE Peringkat N(A) 2024 pada 16 Disember.  - Foto BH oleh KHALID BABA

Dunianya seakan runtuh tatkala disahkan menghidap Limfoma Burkitt Tahap 4 pada akhir 2021 ketika berusia 14 tahun.

Ia satu kejutan besar yang menjejas emosinya di samping meragut keupayaannya berjalan selama enam bulan kerana penyakit itu menjejas urat sarafnya.

Anak ketiga dalam keluarga empat beradik itu perlu menjalani kemoterapi selama tiga bulan dan fisioterapi untuk memulihkan kekuatan ototnya, yang sekali gus memaksanya menangguhkan pelajarannya selama setahun.  

Namun, semangat Muhammad Qu’syairie Abdullah, yang kini berusia 17 tahun, tidak pernah luntur, apatah lagi dia perlu menghadapi peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat Normal Akademik (NA) pada 2024.

Berkat usaha dan azamnya untuk pulih dan berjaya, Qu’syairie adalah antara 9,369 pelajar aliran NA yang menerima keputusan peperiksaan itu pada 16 Disember.

Dia juga merupakan salah seorang daripada tujuh pelajar di sekolahnya, Sekolah Menengah Bendemeer, yang mendapat sebutan khas di atas pencapaian dan cabaran yang dihadapinya.

Keputusan itu juga membolehkannya melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dalam bidang pastri dan membuat kuih yang memang diminatinya.

Menceritakan detik dia mendapat tahu mengenai penyakitnya kepada Berita Harian, pelajar yang mendapat julukan ‘Abang’ dalam kalangan guru dan rakan sekelasnya itu, berkata:

“Apabila saya mendengar doktor mengesahkan ia adalah barah tahap empat, saya amat terkejut. 

“Fikiran pertama saya ialah ‘bagaimana ini boleh berlaku kepada saya?’ Saya tidak pernah menyangka terutamanya kerana tiada seorang pun dalam keluarga saya yang pernah menghidapi barah.”

Mengulas penyakit yang menyebabkan ketumbuhan di tulang belakang yang menyekat sarafnya dan menyebabkan dia hilang keupayaan berjalan, Qu’syairie menambah:

“Saya tidak dapat hadir ke sekolah selama setahun penuh. Sepanjang tempoh itu, saya menjalani enam kitaran kemoterapi selama tiga bulan, dan kemudian menghadiri sesi fisioterapi untuk belajar berjalan semula.”

Cabaran itu, tambah Qu’syairie, memang berat, tetapi dia mendapat sinar harapan apabila doktornya memberitahunya dia mempunyai “99 peratus peluang untuk hidup”.

Satu lagi cabaran baginya ialah apabila dia kembali ke sekolah pada 2023. 

“Ia tidak mudah untuk mengikuti semula (pelajaran) selepas setahun ketinggalan. Saya juga sudah lupa banyak yang dipelajari sebelum ini, tetapi guru dan rakan-rakan lain setiasa memberi sokongan,” katanya.

Gurunya, Encik Gary Chua, telah membuat pengaturan bagi memenuhi keperluan Qu’syairie, seperti memindahkan bilik darjahnya ke tingkat bawah dan memastikan rakan sekelasnya sedia membantu sekiranya dia diserang sawan.

Rakan sekelasnya, Iryan Syah Mohamed Yunos, yang ditugaskan sebagai rakan pengiringnya, menjadi sumber sokongan yang berterusan di sekolah. 

“Dia sentiasa ada untuk saya, sama ada membantu saya dengan pelajaran yang saya tertinggal (jika ada janji temu di hospital) atau sekadar menemani saya,” kata Qu’syairie, yang turut menjawat peranan sebagai wakil subjek Kimia.

Di samping itu, beliau turut merupakan ahli dalam kegiatan kokurikulum (CCA) iaitu sepak takraw sejak menengah satu. Meskipun keadaan kesihatannya mengehadkan penyertaannya dalam mewakili pasukannya, beliau tetap ikut serta.

Ditemani ibunya, Cik Nurqariah Osman, 42 tahun, ketika mengambil keputusan peperiksaan, Qu’syairie berkata: “Saya sebenarnya tak sangka akan mendapat keputusan ini, tetapi saya berasa gembira. Saya rancang untuk memohon menyambung pelajaran di ITE Kolej West.”

Cik Nurqariah, seorang ibu tunggal, turut melahirkan rasa syukur atas pencapaian anaknya itu.

Muhammad Qu’syairie Abdullah mengambil keputusan peperiksaan GCE Peringkat N(A) 2024 di Sekolah Menengah Bendemeer pada 16 Disember. Bersamanya ialah gurunya, Encik Gary Chua, dan ibunya, Cik Nurqariah Osman.
Muhammad Qu’syairie Abdullah mengambil keputusan peperiksaan GCE Peringkat N(A) 2024 di Sekolah Menengah Bendemeer pada 16 Disember. Bersamanya ialah gurunya, Encik Gary Chua, dan ibunya, Cik Nurqariah Osman. - Foto BH oleh KHALID BABA

Seramai 9,369 pelajar NA dan 4,421 pelajar Normal (Teknikal) (NT) yang menduduki peperiksaan itu menerima keputusan mereka pada 16 Disember, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg