Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gaji permulaan doktor dan doktor gigi muda di sektor awam naik hingga 13% selepas semakan

Jan 13, 2023 | 12:29 AM
Foto FAIL LIANHE ZAOBAO
Foto FAIL LIANHE ZAOBAO -

PARA doktor dan doktor gigi junior yang baru memulakan perkhidmatan dalam sektor awam telah mendapat pendapatan lebih tinggi mulai 1 Januari lalu berikutan satu semakan gaji yang dibuat, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (12 Januari).

Menjawab pertanyaan media, jurucakap MOH berkata doktor pelatih yang merupakan lulusan baru dan pegawai perubatan tahun pertama boleh menjangkakan gaji permulaan mereka naik tujuh hingga 13 peratus.

Elaun baru untuk tugasan pada hujung minggu juga akan diperkenalkan.

Pegawai perubatan yang berkelayakan dan telah berkhidmat sehingga enam tahun selepas tamat pengajian serta doktor gigi yang telah bekerja sehingga empat tahun selepas tamat pengajian, juga boleh menjangkakan kenaikan gaji berdasarkan tempoh perkhidmatan dan tempoh bon mereka, kata jurucakap itu.

Jurucakap itu berkata: "MOH bersama MOH Holdings (MOHH) dan kluster penjagaan kesihatan awam sentiasa menyemak dan memastikan bahawa gaji doktor dan pegawai pergigian dalam sistem penjagaan kesihatan awam berdaya saing."

Kali terakhir gaji untuk doktor dan doktor gigi dinaikkan adalah pada 2019.

Portal Jobs Indeed menyenaraikan gaji bulanan purata doktor pelatih di MOHH adalah sekitar $4,500, manakala gaji pegawai perubatan melebihi $6,200.

Jurucakap itu berkata bahawa elaun baru bagi putaran kerja hujung minggu di hospital untuk semua doktor dan doktor gigi juga akan diperkenalkan mulai 1 Februari, iaitu antara $160 dengan $275, bergantung kepada jawatan (siapa lebih senior).

Mulai 1 Februari, elaun jabatan kecemasan dan syif malam berturut-turut atau 'night float' untuk semua doktor di serata MOHH dan kluster penjagaan kesihatan awam juga akan disemak.

'Night float' merujuk pada doktor yang bekerja syif malam untuk beberapa hari berturut-turut tanpa syif siang.

Semakan awal pada 2022 membawa pada kadar elaun yang disemak untuk panggilan penuh (full call) dan separuh panggilan (half call).

Panggilan penuh merujuk pada situasi di mana doktor boleh bekerja selama lebih daripada 24 jam pada satu masa, manakala separuh panggilan adalah apabila syif dilanjutkan selama lima hingga enam jam.

Gaji asas untuk jururawat penjagaan kesihatan awam dinaikkan antara lima hingga 14 peratus dalam dua fasa pada 2021 dan 2022 berikutan semakan semula ganjaran yang diberi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg