SETIAP orang, tidak kira muda atau tua, mudah terdedah dan boleh dijangkiti koronavirus Covid-19, justeru orang ramai harus mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri terutama warga emas.

Memberikan nasihat tersebut, Presiden Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, berkata:

"Tiada siapa yang 'kebal' dari terkena Covid-19 ini. Bagaimanapun, daya tahan warga emas dengan mereka yang lebih muda jauh bezanya.

"Mereka yang tua lebih lemah daya tahannya. Jadi apabila mereka terkena Covid-19, peluang untuk pulih adalah tipis di kalangan warga emas.

"Dari itu, adalah lebih baik jika kita jauhkan jarak kita daripada warga emas," kata beliau.

Dr Zuraimi menambah bahawa individu mungkin membawa virus Covid-19 tanpa mereka sedari kerana mereka tidak mengalami sebarang tanda-tanda penyakit itu.

Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai harus mengelak daripada bertemu dengan warga emas, seperti datuk dan nenek mereka.

"Secara tidak sengaja apabila kita mendekati warga emas, mereka boleh dijangkiti dengan mudahnya. Jadi elakkan berjumpa atau berdekatan dengan warga emas terutama sekali cucu-cicit mereka," kata beliau.

Dalam satu mesej video minggu lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong merayu kepada orang ramai, terutamanya golongan warga senja, agar duduk di rumah semasa tempoh pemutus litar jangkitan ini untuk melindungi kesihatan dan mengekang pandemik Covid-19 di sini.

Pakar geriatrik di Hospital Raffles, Dr Nur Farhan Alami, berkata bantuan juga harus dihulurkan kepada warga emas yang mengalami demensia semasa tempoh ini.

"Kita harus sedar bahawa ada warga emas yang mengalami demensia berdepan dengan cabaran mematuhi semua peraturan, seperti gunakan pelitup dan kekalkan jarak selamat.

"Kita harus tahu bahawa mereka juga tinggal dalam masyarakat dan cuba membantu mereka dan tidak menyalahkan atau menghakimi mereka," kata beliau.

Doktor keluarga di Poliklinik Jurong, Dr Djoni Huang, berkata adalah penting bagi warga emas harus duduk di rumah kerana imuniti mereka secara umumnya lebih lemah dan boleh dijangkiti sebarang penyakit berjangkit seperti Covid-19.

"Pesakit warga emas biasanya mengambil masa lebih lama untuk pulih dan jangkitan itu boleh menyebabkan mereka masuk hospital," kata beliau.

Cik Zaiton Alwi, 66 tahun, yang kerap melancong setiap tahun, berkata beliau sudah duduk di rumah selama hampir sebulan kini dan hanya turun ke bawah sekali saja sejauh ini untuk mendapatkan pelitup mukanya.

Beliau, yang tinggal berseorangan, berkata anak saudaranya dan ahli keluarga yang lain membantu membelikan barang pasar dan menghantarkannya ke rumah beliau.

"Saya isikan masa dengan melakukan kegiatan yang saya gemar, seperti memasak, membuat kuih dan kek, menonton video mengaji, muzik, selawat di YouTube, ikuti perkembangan tentang Covid-19 di Facebook. Saya juga berinteraksi dengan orang tersayang melalui Facetime," kata beliau.

Turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan duduk di rumah ialah Cik Fadzilah Onn, berusia dalam lingkungan 60-an tahun.

Beliau, yang juga gemar melancong, telah menundakan rancangan untuk ke Iceland dan tidak dapat bertemu dengan keluarganya di Kuala Lumpur buat masa ini.

"Sekarang ini, anak saudara saya tolong belikan barang keperluan di pasar untuk saya...Saya juga habiskan masa di rumah bertadarus mengaji Al-Quran, menonton ceramah oleh ustaz dalam talian dan menonton saluran berita di televisyen untuk dapatkan berita terkini," kata beliau.

Cik Rabiah Haji Mohammed, 73 tahun, pula berkata beliau mengisikan masa lapangnya di rumah dengan melakukan pelbagai kegiatan seperti bersenam dan membuat kerja rumah.

"Nasihat saya ialah duduk saja di rumah buat masa ini. Banyak benda yang boleh kita buat di rumah. Kita boleh mengaji, lakukan solat sunat.

"Kita perlu tahan sekejap saja. Mudah-mudahan, perkara ini (langkah pemutus litar jangkitan) tidak berlanjutan," kata beliau.

"Tiada siapa yang 'kebal' dari terkena Covid-19 ini. Bagaimanapun, daya tahan warga emas dengan mereka yang lebih muda jauh bezanya. Mereka yang tua lebih lemah daya tahannya. Jadi apabila mereka terkena Covid-19, peluang untuk pulih adalah tipis di kalangan warga emas. Dari itu, adalah lebih baik jika kita jauhkan jarak kita daripada warga emas." - Presiden Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), Dr Zuraimi Mohamed Dahlan.