Bagi kebanyakan orang, bencana perang dan pergolakan politik di luar negara mungkin terasa jauh dan tidak nyata.
Namun, bagi Dr Fahamy Koenitz Iskandar, pengalaman bekerja dengan pelarian Palestin dan Syria di Jordan telah memberikan pandangan yang mendalam tentang kesan kemanusiaan di sebalik konflik yang berlarutan.
“Apabila saya melihat berita tentang Palestin dan Syria, sukar untuk saya tidak merasai kesedihan mereka.
“Anda tidak perlu jadi seorang Muslim untuk rasa prihatin terhadap nasib mereka. Mereka perlukan bantuan dan saya tahu saya boleh menyumbang dari segi perubatan,” jelas Dr Fahamy, 43 tahun.
Doktor daripada Jabatan Kecemasan Hospital Besar Sengkang (SKH) itu baru-baru ini menyertai misi kemanusiaan dari 17 hingga 21 Februari yang bukan sahaja menguji kemahiran perubatannya, malah menyentuh nilai kemanusiaannya.
Beliau ditemani tiga rakan sekerja dari SKH – pendidik jururawat, Cik Siti Nasriah Yusri, 38 tahun; pengurus jururawat kanan, Encik Ahmad Khairil Mohamed Jamil, 38 tahun; dan jururawat; Encik Hafez Tahir, 43 tahun.
Mereka sebahagian daripada sekitar 10 sukarelawan yang terdiri daripada anggota Global Ehsan Relief serta kakitangan perubatan lain dari Singapura, Malaysia, Jordan dan Palestin, yang merawat sekitar 2,000 pelarian di tiga kem terpencil selama lima hari.
Menurut Dr Fahamy, impian untuk menghulurkan bantuan kepada pelarian di Jordan lahir sekitar Oktober 2024, apabila beliau menghubungi beberapa pertubuhan bukan pemerintah (NGO).
Global Ehsan Relief, yang telah lama membantu di kawasan kem pelarian, membalas dan bersetuju menjadi penyelaras utama misi.
“Tanpa kempen besar-besaran, kami berjaya mengumpul sekitar $50,000 daripada rakan dan keluarga. Dana itu digunakan untuk membeli ubat penting, mesin ultrabunyi mudah alih dan sebuah trak besar yang berfungsi sebagai klinik pergigian mudah alih.
“Misi itu bertujuan memberikan bantuan kepada pelarian yang terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat perang dan kekacauan politik.
“Saya tahu Singapura telah menghantar bantuan dari segi makanan ke kem-kem ini, tetapi bagaimana pula dengan bantuan perubatan? Jadi, begitulah tercetusnya idea untuk membantu,” ujar Dr Fahamy.
Perjalanan selama beberapa jam dari ibu kota Amman ke kawasan padang pasir yang luas membawa pasukan itu ke tiga kem pelarian terpencil, jauh daripada akses kepada kemudahan asas, apatah lagi penjagaan kesihatan.
Beberapa khemah didirikan di atas tanah berdebu, beralaskan tikar nipis, tanpa pemanas yang mencukupi meskipun suhu malam menjunam ke paras beku.
Menurut Dr Fahamy, kebanyakan pelarian tidak mempunyai bekalan air bersih atau ubat, manakala rawatan perubatan pula sukar diperoleh kecuali apabila ada misi seperti itu.
“Ramai antara mereka mengalami sakit belakang dan sakit dada, tetapi tidak ada ubat untuk merawatnya. Kanak-kanak juga kurang zat makanan, jadi kami memberi multivitamin.
“Ada yang telah menunggu berminggu-minggu, malah berbulan-bulan, hanya untuk mendapatkan ubat biasa,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan seperti itu, kehadiran pasukan perubatan menjadi sinar harapan buat pelarian yang telah lama terpinggir.
Bagi Cik Siti Nasriah, pengalamannya di kem pelarian membuka matanya terhadap betapa sukarnya akses kepada rawatan asas bagi golongan terpinggir itu.
Peranannya di sana adalah untuk mengambil tanda vital, menyemak paras gula dalam darah dan menimbang berat badan kanak-kanak itu bagi memastikan dos ubat yang tepat.
“Ia sungguh menyayat hati. Ramai begitu terdesak untuk menerima rawatan walaupun hanya untuk masalah biasa. Namun, mereka begitu tabah dan sabar menunggu,” ujar Cik Siti Nasriah.
Salah satu detik yang tidak dapat dilupakannya berlaku apabila seorang kanak-kanak perempuan kecil menghampirinya dengan sekeping kertas bertulis beberapa perkataan mudah dalam bahasa Inggeris seperti “love”, “eat” dan “name”.
“Dia cuba bercakap dengan saya dan kata dia ingin jadi seperti saya suatu hari nanti – untuk bantu orang lain. Itu sungguh menyentuh hati saya,” singkap beliau.
Namun, di tengah segala kekurangan dan kesusahan, Dr Fahamy mengalami satu detik yang padanya menggambarkan erti sebenar kemanusiaan, satu kenangan yang akan sentiasa terpahat dalam ingatannya.
Ia berlaku ketika beliau merawat seorang pelarian muda yang mengalami sakit belakang teruk.
Lelaki itu, ujar Dr Fahamy, terpaksa melarikan diri dari rumahnya akibat perang dan kini tinggal di sebuah khemah serba kekurangan.
Selepas diberi ubat, pelarian itu mula berasa lega dalam masa sejam and pulang ke khemahnya.
Tidak lama kemudian, beliau kembali sambil menghulurkan sebiji limau kecil sebagai tanda terima kasih, kata Dr Fahamy.
“Limau itu satu-satunya kepunyaan berharga yang beliau miliki. Beliau menanam pokok limau kecil di sebelah khemahnya.
“Beliau ucap terima kasih sambil menangis dan kemudian peluk serta cium kepala saya. Ia satu detik yang sangat mengharukan.
“Sebiji limau mungkin tidak berharga bagi kebanyakan orang, tetapi ia simbol penghargaan yang tulus daripada seorang yang tidak memiliki apa-apa, kecuali rasa terima kasih,” kongsi Dr Fahamy.
Bagi Encik Hafez pula, misi itu merupakan antara pengalaman paling bermakna sepanjang kerjayanya.
Menurutnya, sebaik sahaja mereka tiba di kem pelarian, beliau dapat rasakan hubungan yang mendalam dengan masyarakat yang mereka bantu.
“Ramai menunggu berjam-jam hanya untuk menerima rawatan asas, tetapi mereka tetap menyambut kami dengan senyuman dan kesyukuran.
“Saya juga dapat banyak manfaat daripada berinteraksi dengan pekerja penjagaan kesihatan tempatan.
“Ketabahan dan kepintaran mereka dalam menghadapi sumber yang terhad memberi saya inspirasi yang mendalam,” singkap Encik Hafez.
Beliau juga teringat bagaimana kanak-kanak di sebuah kampung terpencil begitu gembira apabila pasukan perubatan mengedarkan gula-gula selepas rawatan.
“Mereka tersenyum, ketawa dan ada yang mengucapkan terima kasih atau memeluk kami. Ia detik kecil, tetapi sangat berharga,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg