SINGAPURA akan memberikan suntikan penggalak Covid-19 kepada golongan dengan imuniti terjejas, warga berusia 60 tahun dan ke atas dan penghuni kemudahan penjagaan warga emas mulai bulan ini.

Suntikan dos ketiga ini bagi mengukuhkan daya tahan badan.

Ini diumumkan pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) Covid-19 dalam satu sidang media semalam.

Golongan dengan imuniti yang terjejas secara sederhana hingga teruk harus menerima dos ketiga vaksin mRNA yang sama dua bulan selepas dos kedua mereka.

Ini demi memastikan mereka mempunyai respons imun perlindungan yang mencukupi terhadap koronavirus, kata Kementerian Kesihatan (MOH).

Sementara itu, warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta penghuni kemudahan penjagaan warga emas pula harus menerima dos ketiga vaksin mRNA mereka enam hingga sembilan bulan selepas dos kedua mereka, tambah kementerian itu.

MOH berkata, ini bermakna kumpulan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang selesai rejimen vaksinasi mereka pada sekitar Mac tahun ini akan layak mendapatkan dos ketiga pada bulan ini.

Langkah tersebut disarankan Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi Covid-19 (EC19V) selepas ia meneliti bukti sedia ada, termasuk keselamatan dan keberkesanan dos penggalak yang diberikan di serata dunia.

MOH dalam kenyataannya berkata, ia bersetuju dengan saranan untuk memulakan program suntikan penggalak bagi dua kumpulan tersebut.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, yang juga pengerusi bersama MTF, berkata semalam: "Ini adalah untuk menghalang peningkatan jangkitan yang sangat mendadak, yang masih boleh bermakna, secara mutlak, ramai orang boleh sakit teruk atau meninggal dunia... Ini terutamanya relevan bagi golongan warga emas dan kumpulan berisiko lebih tinggi yang lain."

Dalam tempoh 28 hari lalu, peratusan individu yang sudah divaksin dan dijangkiti Covid-19 yang jatuh sakit teruk atau meninggal dunia adalah 1.3 peratus berbanding 9.2 peratus bagi mereka yang belum divaksin, kata Encik Ong.

Beliau menambah, varian Delta koronavirus itu yang lebih berjangkit telah menjadi varian utama menjangkiti ramai orang di banyak negara, termasuk individu yang sudah divaksin sepenuhnya.

Meskipun vaksin tetap memberikan perlindungan daripada jangkitan, tahap perlindungannya akan merosot sedang antibodi surut dalam tubuh beberapa bulan selepas vaksinasi.

"Di Singapura, data kami menunjukkan bahawa keupayaan vaksinasi mencegah sebarang jangkitan Covid-19 adalah sekitar 40 peratus.

"Meskipun begitu, vaksin terus berkesan dalam memberikan perlindungan daripada penyakit teruk dan kematian sekiranya anda dijangkiti," kata beliau.

Meskipun antibodi berkurangan dalam tubuh, terdapat sel ingatan dalam badan yang telah belajar menghasilkan antibodi baru sekiranya ia bertemu dengan virus Covid-19 sekali lagi, jelasnya lagi.

Encik Ong turut berkata, EC19V akan terus meneliti bukti dan data bagi kumpulan usia yang berlainan bagi suntikan penggalak.

Jawatankuasa itu juga akan memberikan tumpuan khusus pada reaksi buruk yang teruk tetapi jarang berlaku terhadap vaksin, yang kebanyakannya menjejas kumpulan usia lebih muda.

Ia juga akan meneliti keberkesanan strategi menggunakan vaksin yang berbeza dengan vaksin yang digunakan bagi dua dos pertama untuk dos ketiga.

Dalam pada itu, Encik Ong berkata percubaan klinikal bagi vaksinasi untuk golongan berusia 12 tahun ke bawah kini sedang dijalankan, dan MOH menjangkakan vaksinasi bagi kanak-kanak bermula pada awal tahun depan selepas kajian selesai dijalankan dan proses kelulusan peraturan dilaksanakan.

Semalam, Singapura melaporkan 216 kes Covid-19 baru dalam masyarakat. Daripada jumlah itu, 109 tidak ada kaitan dengan kes yang dilaporkan sebelum ini. Sebanyak 56 kes dikaitkan dengan kes terdahulu dan telah dikuarantin manakala lagi 51 kes yang dikaitkan dengan kes terdahulu dikesan menerusi pemantauan.

SEKILAS • Dua kumpulan berikut akan menerima suntikan penggalak, atau suntikan dos ketiga: (i) Individu imuniti terjejas - Disaran dapatkan dos ketiga vaksin mRNA yang sama 2 bulan selepas dos kedua mereka (ii) Individu berusia 60 tahun dan ke atas dan penghuni kemudahan penjagaan warga emas - Boleh terima dos ketiga vaksin mRNA 6-9 bulan selepas dos kedua • Orang awam boleh buat janji temu ujian pantas dan mudah (FET) di 20 Pusat Ujian Pantas (QTC) mulai 1 Oktober ini • Penduduk Singapura, termasuk yang sudah divaksin sepenuhnya, digalak lakukan ujian sendiri dengan kerap menggunakan kit ujian pantas antigen (ART)

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti