Asean perlu memperkukuh penyepaduan serantau dan meluaskan kerjasama dengan lebih banyak rakan kongsi bagi menangani nasionalisme ekonomi yang semakin meningkat, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

Meskipun negara Asean tidak dapat menentukan cara kuasa besar dunia mengurus perbezaan antara mereka, blok 11 negara itu boleh mengekalkan kebebasan untuk bertindak dengan menjalin hubungan merentasi perbezaan geopolitik.

Justeru, Singapura akan memajukan pendekatan berlandaskan peraturan tersebut apabila menjadi Pengerusi Asean pada 2027, dengan meneruskan usaha baik yang dimulakan oleh Filipina.

Encik Gan, yang juga Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), berkata demikian dalam ucaptama di Sidang Kemuncak Masa Depan Asia 2026 pada 27 November di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.

Sidang tersebut, anjuran SPH Media, turut dibentangkan bersama oleh lima penerbitan utamanya – The Straits Times (ST), The Business Times (BT), Lianhe Zaobao (ZB), Berita Harian (BH) dan Tamil Murasu (TM).

OCBC merupakan penaja utama bagi Sidang Kemuncak Masa Depan Asia 2026, dengan Marina Bay Sands sebagai rakan kongsi lokasi rasmi, dan Amazon Web Services sebagai rakan kongsi awan rasmi.

Bercakap lebih lanjut, Encik Gan berkata ekonomi di rantau Asia kekal berdaya tahan meskipun berdepan tarif lebih tinggi, gangguan bekalan tenaga dan ketidaktentuan perdagangan sejagat yang semakin meningkat sepanjang dua tahun lalu.

Menurutnya, Asean mencatatkan pertumbuhan hampir 5 peratus pada 2025 dan terus menawarkan peluang kepada perniagaan serta pelabur.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Namun, beliau berkata usaha untuk memanfaatkan potensi itu memerlukan Asean mengharungi landskap sejagat yang menyaksikan pemerintah negara semakin mengutamakan keupayaan berdikari serta penguasaan ke atas industri dan bekalan penting.

“Meningkatkan halangan antara kita akan mengehadkan peluang yang tersedia bagi setiap negara.

“Asean mesti menangani nasionalisme ekonomi yang semakin meningkat dengan penyepaduan lebih mendalam dan kerjasama lebih meluas,” tegas Encik Gan.

Beliau menggariskan tiga perkembangan utama yang menjadikan kerjasama itu semakin penting, iaitu kecerdasan buatan (AI), kejutan geopolitik dan persaingan geoekonomi.

Encik Gan berkata AI menawarkan peluang kepada Asean dan Asia untuk meningkatkan daya penghasilan dan beralih kepada kegiatan ekonomi bernilai lebih tinggi, sementara pelaburan dalam prasarana AI membuka peluang dalam rantaian bekalan teknologi.

Namun, beliau berkata pemerintah, majikan dan institusi latihan perlu mempersiapkan pekerja menghadapi perubahan pekerjaan serta membantu mereka yang kehilangan pekerjaan beralih kepada peranan baru.

Asean juga boleh memanfaatkan Panduan Tadbir Urus dan Etika AI serta bekerjasama dengan lebih banyak rakan kongsi dalam penyelidikan keselamatan, pengujian dan langkah perlindungan berkaitan AI, tambah Encik Gan.

Dalam menghadapi kejutan geopolitik pula, Encik Gan berkata Asean boleh memperkukuh daya tahan dengan memastikan perdagangan terus mengalir, berkongsi maklumat dan menyelaraskan tindak balas.

Grid Kuasa Asean (APG) turut menawarkan satu lagi wadah untuk memperkukuh daya tahan tenaga serantau, kata Encik Gan.

Projek integrasi tenaga elektrik yang menghubungkan Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura, misalnya, membuktikan perdagangan elektrik merentasi beberapa negara boleh dilaksanakan.

“Dengan menghormati komitmen kita dan memanfaatkan kekuatan satu sama lain, kita boleh memberi setiap negara lebih banyak pilihan untuk menguruskan gangguan serta keyakinan lebih tinggi terhadap daya tahan bersama,” katanya.

Kenyataan beliau dibuat menyusuli pengumuman Amerika Syarikat mengenai tarif baharu dan sekatan eksport cip sejak dua minggu lalu, yang menjejas banyak pihak di Asia Tenggara.

Encik Gan turut menekankan kepentingan Asean mengekalkan hubungan ekonomi dengan Amerika dan China, di samping memperluas kerjasama dengan ekonomi lain.

Beliau berkata kedua-dua kuasa besar itu akan terus menjadi rakan ekonomi utama Asean, baik sebagai sumber pelaburan mahupun rakan dagang.

“Walaupun terdapat tarif yang dikenakan terhadap Singapura dan negara anggota Asean lain, Amerika kekal sebagai rakan dagang dan pelabur yang penting.

“Perniagaan, teknologi dan pasaran mereka akan terus menjadi penting bagi pertumbuhan kita.

“Kita mesti terus bangunkan hubungan kita dengan mereka,” katanya.

Asean akan meraikan ulang tahunnya yang ke-60 pada 2027, dengan Singapura mengambil alih kepengerusian dari Filipina di tengah-tengah persaingan geopolitik yang tinggi.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mendedahkan tema untuk kepengerusian Singapura iaitu ‘Penyepaduan Lebih Mendalam, Kerjasama Lebih Luas’.

Sementara itu, Encik Gan turut menekankan kepentingan mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala dan memperkukuh peranan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bagi memastikan kepentingan ekonomi negara kecil terus terpelihara.

Tanpa peraturan antarabangsa yang dipersetujui bersama, negara yang mempunyai ekonomi lebih kecil akan lebih terdedah kepada kesan keputusan yang dibuat kuasa besar, manakala perniagaan akan berdepan ketidaktentuan lebih besar.

“Negara Asean tidak dapat menentukan bagaimana kuasa besar menguruskan perbezaan mereka.

“Namun, kita boleh mengekalkan hubungan merentasi perbezaan ini dan terus menjadi jambatan bagi perdagangan, pelaburan dan kerjasama,” ujar beliau.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti