Eksport Singapura bernilai sekitar $9.4 billion akan terjejas oleh cadangan tarif terkini Amerika Syarikat, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, sambil menambah bahawa negara ini akan terus berunding dengan Amerika bagi menurunkan tarif tersebut.

Namun, Encik Gan – yang juga Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan) – menegaskan bahawa sebarang perjanjian yang dicapai kelak akan memerlukan semangat tolak ansur daripada kedua-dua pihak.

Cadangan tarif baru sehingga 20 peratus itu akan menaikkan kadar tarif efektif ke atas barangan Singapura daripada 7.8 peratus kepada 10.3 peratus, tambah beliau.

Encik Gan berkata demikian pada 26 November ketika ditemui pihak media susulan langkah Amerika pada 25 November yang mencadangkan untuk mengenakan tarif sehingga 20 peratus ke atas Singapura dan 13 rakan dagang lain di bawah Seksyen 301, dengan mendakwa 14 rakan dagang itu mengeluarkan lebih banyak barangan berbanding jumlah yang akan dihasilkan dalam keadaan biasa yang berorientasikan pasaran.

“Kita juga harus ingat bahawa apa jua perjanjian yang kita capai bersama Amerika, pasti ada unsur tolak ansur. Akan ada kompromi. Akan ada keseimbangan yang perlu kita bersedia untuk terima.

“Justeru, dalam proses ini, amat penting untuk sentiasa ingat bahawa kita akan sentiasa berprinsip dan sentiasa mengutamakan kepentingan Singapura,” kata beliau.

Cadangan tarif terkini itu boleh berkuat kuasa pada awal 2027, namun Amerika telah menawarkan untuk mempertimbangkan penurunan kadar kepada 10 peratus sekiranya Singapura mencapai Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) dengan Washington.

Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) sebagai respons telah menyuarakan kekecewaan terhadap cadangan tarif Amerika, sambil menyatakan bahawa siasatan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) gagal mengambil kira struktur unik ekonomi negara ini yang terbuka dan bergantung kepada perdagangan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Meskipun tarif baru itu tidak akan ditambah ke atas tarif Seksyen 301 sebanyak 12.5 peratus yang diumumkan sebelum ini berkaitan kebimbangan buruh paksa, tanpa ART, kadar tarif baru itu boleh mencecah sehingga 20 peratus.

Encik Gan berkata pemerintah akan bekerjasama dengan sektor swasta dan Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) untuk mendekati syarikat tempatan yang terjejas demi membantu mereka menangani impak daripada tarif tersebut.

Sementara itu, dalam menangani keprihatinan Amerika mengenai Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Singapura, Encik Gan menekankan bahawa ia merupakan sebuah skim simpanan yang direka untuk menyokong keperluan perumahan, penjagaan kesihatan dan persaraan rakyat, dan bukannya alat dasar untuk menyekat perbelanjaan domestik.

Bahkan, Singapura juga mempunyai skim lain untuk menggalak perbelanjaan tempatan, termasuk Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), tambah beliau.

Laporan USTR itu, antara lain, telah menyasar skim CPF, iaitu mekanisme keselamatan sosial bagi simpanan persaraan, dengan menyatakan Singapura menggunakannya untuk menggalak simpanan dan menekan perbelanjaan bagi meningkatkan lebihan akaun semasanya.

Encik Gan berkata beliau terkejut Amerika prihatin tentang sistem CPF, sambil menambah bahawa skim itu penting bagi Singapura kerana negara ini tiada sumber semula jadi untuk membiayai keperluan penduduknya yang semakin menua.

“Kebanyakan negara mempunyai sama ada dana pencen atau skim insurans yang menjadi sandaran bagi keperluan persaraan mereka, tetapi kita mempunyai skim CPF ini.

“Justeru, saya fikir amat penting untuk kita berkomunikasi dengan mereka (Amerika) bagi menjelaskan pendirian kita,” kata beliau.

“Kita tidak mahu membebankan generasi muda kita, dan sebab itulah kita mempunyai skim ini bagi memastikan kita semua berdikari.”

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti