Singapura terus menarik pelaburan kukuh walaupun terdapat peralihan dalam korporat global, dengan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) memperoleh komitmen pelaburan aset tetap (FAI) $5.4 bilion pada separuh pertama 2024.
Dengan ini, EDB masih berupaya memenuhi matlamat komitmen pelaburan jangka sederhana hingga panjangnya yang sebanyak $8 bilion hingga $10 bilion dalam FAI 20214, kata Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Gan Kim Yong, pada 14 Oktober.
Pada 2023, EDB menarik $12.7 bilion dalam komitmen FAI, selepas mencatatkan rekod $22.5 bilion pada 2022, didorong lonjakan pelaburan dalam industri semikonduktor.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen, Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berkata: “Singapura kekal sebagai lokasi menarik bagi pelaburan.”
Beliau menjawab soalan Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang), yang bertanya tentang syarikat berbilang negara (MNC) yang berpindah, mengecilkan saiz operasi atau memberhentikan pekerja di Singapura, serta faktor utama yang mendorong keputusan mereka. Encik Yip juga menyuarakan kebimbangan mengenai daya saing tenaga kerja tempatan, lapor The Business Times.
Dalam responsnya, Encik Gan berkata firma, termasuk MNC besar, mungkin mengecilkan atau menghentikan operasi mereka di Singapura disebabkan peralihan pasaran atau perubahan dalam strategi global.
“Dalam situasi sebegitu, pemerintah akan bekerjasama rapat dengan syarikat dan kesatuan sekerja untuk membantu pekerja yang diberhentikan, melalui peningkatan kemahiran dan pemadanan pekerjaan,” katanya.
Pada Mei, penyedia perkhidmatan awan, atau cloud, Amazon Web Services (AWS), dan gergasi farmaseutikal global, AstraZeneca, mengumumkan komitmen pelaburan besar di Singapura.
AWS mengumumkan komitmen pelaburan $12 bilion dalam infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) sepanjang empat tahun akan datang, manakala AstraZeneca akan membina kemudahan perkilangan bernilai $2 bilion bagi konjugat ubat antibodi (ADC), iaitu kelas ubat biofarmaseutikal yang direka sebagai terapi sasaran bagi merawat barah.
“Pelaburan ini menghasilkan pekerjaan baik untuk rakyat Singapura,” ujar Encik Gan, sambil menambah bahawa kira-kira 60 peratus daripada rakyat tempatan yang berpendapatan lebih $12,500 sebulan bekerja bagi firma milik asing.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg