Topik diikuti
Pergi ke BHkuDPM Gan: S’pura tidak ‘tunduk’ kepada mana-mana negara, ambil pendirian berprinsip
DPM Gan: S’pura tidak ‘tunduk’ kepada mana-mana negara, ambil pendirian berprinsip
Singapura tidak “tunduk” kepada sesiapa pun, namun negara ini mesti terus berpegang teguh kepada prinsip kepercayaan dan mengelakkan tindakan balas-membalas, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.
Meskipun setiap rundingan mempunyai harga yang perlu dibayar, ia tidak bermakna Singapura perlu membayar sebarang harga demi mendapatkan konsesi, sambil menegaskan keperluan menimbang baik dan buruknya.
Encik Gan berkata demikian dalam sesi dialog di Sidang Kemuncak Masa Depan Asia 2026 yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands pada 27 November.
Perkara tersebut telah ditekankan Encik Gan sehari sebelum itu susulan langkah Amerika pada 25 November yang mencadangkan untuk mengenakan tarif sehingga 20 peratus ke atas Singapura dan 13 rakan dagang lain di bawah Seksyen 301.
Ditemui media pada 26 November, Encik Gan telah menyatakan bahawa Singapura akan terus berunding dengan Amerika bagi menurunkan tarif tersebut, tetapi turut menegaskan bahawa sebarang perjanjian yang dicapai kelak akan memerlukan tolak ansur kedua-dua pihak.
Dalam sesi dialog itu, Encik Gan berkata Amerika kekal sebagai pasaran penting bagi sumber teknologi serta destinasi eksport pelbagai produk Singapura, justeru negara ini perlu terus mencari jalan bekerjasama sambil memelihara kepentingan negara.
“Kita tidak akan ‘kow tow’ (tunduk) kepada mana-mana negara. Kita telah bersikap sangat jelas, dan semalam juga telah dinyatakan bahawa bagi setiap rundingan, ada harga yang perlu dibayar, dan tidak semestinya kita perlu membayar sebarang harga demi mendapatkan konsesi,” kata Encik Gan.
“Apabila kita berunding dengan mereka (Amerika), kita mesti sentiasa memelihara kepentingan Singapura...Namun, jika kita masuk berunding dengan pandangan bahawa walau apa pun yang terjadi, kita mesti mendapatkan konsesi dan sanggup membayar sebarang harga yang diminta, saya rasa itu adalah titik permulaan yang salah,” tambah beliau.
Sidang anjuran SPH Media itu dibentangkan bersama oleh lima penerbitan utamanya – The Straits Times, The Business Times, Lianhe Zaobao, Berita Harian dan Tamil Murasu.
OCBC merupakan penaja utama bagi sidang tersebut, dengan Marina Bay Sands sebagai rakan kongsi lokasi rasmi dan Amazon Web Services sebagai rakan kongsi awan rasmi.
Encik Gan memberi amaran bahawa dunia boleh menjangkakan persaingan antara China dengan Amerika terus meruncing, sambil menambah bahawa dialog serta persefahaman bersama akan dapat mengelakkan kesilapan dan langkah yang tidak wajar.
Oleh itu, beliau berkata dialog antara kedua-dua pemimpin China dan Amerika amat penting dan meningkatkan persefahaman bersama, serta diharapkan dapat memperkukuh sikap saling menghormati.
“Ini bukan sahaja baik untuk China dan Amerika, malah baik untuk seluruh dunia, khususnya rantau Asia Pasifik dan Asean.
“Justeru, saya fikir ini adalah sesuatu yang kita ikuti dengan rapat. Persefahaman dan sikap saling menghormati yang semakin baik ini juga memudahkan kita untuk berbincang dengan semua pihak,” kata Encik Gan.
Sementara itu, Encik Gan berkata Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) perlu diperkukuh agar manfaat perdagangan bebas dinikmati secara saksama, termasuk membaiki mekanisme penyelesaian pertikaian serta proses membuat keputusan yang berasaskan konsensus.
Beliau memberi contoh perjanjian e-dagang di mana Singapura merupakan salah satu penjaga utama, dengan perjanjian itu memudahkan urusan e-dagang dalam kalangan anggota WTO.
Namun, di luar WTO, Encik Gan berkata terdapat kerjasama serantau, berbilang hala dan satu hala lain, seperti Perjanjian Progresif dan Menyeluruh bagi Kerjasama Rentas-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (Atiga), yang menunjukkan negara lain terus mengurangkan halangan perdagangan walaupun Amerika menaikkan tarif.
“Saya fikir ini juga merupakan isyarat kepada seluruh dunia bahawa walaupun Amerika menaikkan tarif, negara-negara lain di dunia akan terus mencari jalan untuk bekerjasama, berintegrasi dan mengurangkan halangan perdagangan.
“Ini kerana perdagangan, pada akhirnya, amat penting bagi semua ekonomi di rantau ini dan juga di seluruh dunia,” kata beliau.
Encik Gan turut menekankan kepentingan kepercayaan terhadap Singapura sebagai hab perniagaan, kewangan, pengangkutan dan perkapalan dalam dialog itu, sambil berkata ekonomi negara ini bergantung pada prospek global serta ekonomi rantau, dan bagi membolehkan kerjasama dengan rakan-rakan di seluruh dunia berterusan, pengukuhan kepercayaan antara satu sama lain diperlukan.
Menjelang kepengerusian Asean oleh Singapura pada 2027, negara ini bertekad memperdalam integrasi serantau, termasuk melalui Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) – iaitu perjanjian ekonomi digital bersejarah yang akan memudahkan perniagaan berurus niaga dan beroperasi merentasi rantau ini.
Encik Gan turut menjawab soalan mengenai isu jerebu rentas sempadan, sambil memberi jaminan bahawa siasatan terhadap syarikat-syarikat yang membakar hutan dan menyebabkan jerebu masih sedang dijalankan meskipun tiada jerebu lagi di rantau ini.
“Kita sedang meneruskan siasatan, namun kita mesti memberi masa kepada syarikat-syarikat tersebut untuk kembali kepada kami, mengemukakan maklumat, membolehkan juruaudit dan penyiasat menjalankan tugas mereka, serta memberi mereka peluang yang adil untuk membela diri.
“Justeru, saya rasa ini adalah proses undang-undang yang wajar yang perlu kita lalui,” kata beliau.