TIMBALAN Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, membidas segelintir rakyat negara ini yang tidak mengendahkan arahan 'Pemutus Litar' bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
"Kita semua perlu membuat penyesuaian ke atas rutin harian, dan ramai daripada anda dapat melakukannya - terima kasih!," ujarnya.
Semalam, Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, melaporkan bahawa Pegawai Penguatkuasa telah mengeluarkan lebih 3,000 surat makluman, dan telah mengeluarkan amaran keras hari ini kepada pesalah kali pertama yang tidak menurut arahan jarak selamat yang diperketat.
Encik Heng yang juga Menteri Kewangan dalam catatan di Facebook yang dimuatnaik pada 3.45 petang tadi, menyatakan sebahagian besar masanya beliau telah bekerja dari rumah sejak 'pemutus litar' dilaksanakan.
"Dalam beberapa ketika di mana kami perlu berjumpa, kami memakai pelitup - seperti yang kami lakukan semasa mesyuarat Kabinet semalam. Pagi tadi, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian bertemu untuk membincangkan cara terbaik untuk mendapatkan semua orang mematuhi langkah 'pemutus litar', memastikan setiap kita selamat, dan melindungi rakyat kita," katanya.
Jumlah kes Covid-19 di Singapura terus mencatat peningkatan. Ini antara lain disebabkan beberapa kelompok yang terjadi dalam dormitori pekerja.
"Kami telah meletakkan beberapa langkah tambahan, dan akan memberikan perkembangan mengenainya tidak lama lagi. Tetapi terdapat beberapa kes baru dalam masyarakat yang lebih luas. Jadi adalah genting agar kita dan dari kita mematuhi langkah jarak selamat yang kini lebih ketat. Bukan mudah untuk merubah rutin harian dan amalan kita, tetapi kita perlu. Dan kita mesti melakukan sebaiknya untuk memerangi virus ini.
"Ini bukan sahaja tertumpu pada pekerja penjagaan kesihatan dan penyedia khidmat penting yang berada di barisan depan. Setiap dari kita berada di barisan depan. Setiap dari kita boleh membuat perubahan. Berikan 100 peratus atau lebih dalam usaha nasional ini: Duduk di rumah, keluar hanya perlu sahaja, dan pakai pelitup bila keluar rumah. Bersama-sama, kita boleh atasinya," kata beliau memberi dorongan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg