DPM Heng harap pelajar, ibu bapa bersama-sama manfaat masa cuti sekolah
DPM Heng harap pelajar, ibu bapa bersama-sama manfaat masa cuti sekolah
TIMBALAN Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, berharap golongan pelajar dan ibu bapa dapat bersama-sama memanfaatkan masa cuti sekolah dengan melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan.
Dalam catatannya di Facebook, beliau mengetengahkan beberapa idea dan aktiviti tersebut.
"Kini adalah minggu kedua cuti sekolah. Saya harap anak-anak kita (dan ibu bapa) menggunakan masa #dudukdirumah dengan sebaik-baiknya," kata beliau.
Encik Heng mengetengahkan AList SG - dari seni dalam talian dan konsert budaya, wisata muzium secara maya kepada kegiatan seni dan kraftangan untuk sesiapa jua, "dari muda hingga muda di hati", selorohnya.
Tambah Encik Heng, pustakawan dari perpustakaan awam mengadakan sesi bercerita untuk anak kecil dalam empat bahasa di laman Facebook mereka agar kanak-kanak dapat terus dipupuk dengan amalan membaca walaupun perpustakaan ditutup.
Atau katanya, orang ramai boleh juga meluangkan tenaga yang berlebihan dengan melakukan senaman di rumah dan memulakan amalan sihat yang disyorkan oleh Lembaga Penggalak Kesihatan Singapura.
Orang ramai juga boleh mendapatkan lebih banyak idea dari kemudahan yang ditawarkan Kementerian Pendidikan - Kelengkapan untuk Ibu Bapa tentang bagaimana untuk menjaga kesejahteraan anak-anak dan membuat penyesuaian dalam menjalani kebiasaan hidup yang baru ini.
"Pelajar yang menduduki peperiksaan nasional akan kembali ke sekolah minggu hadapan untuk memulakan persiapan mereka.
"Sama ada di rumah atau di sekolah, saya harap anda terus kekal ingin tahu, sambil membina ikatan lebih kukuh dengan orang-orang yang anda sayangi dan kawan-kawan," katanya mengakhiri catatannya itu.

