Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Heng tekan peri penting pegangan etika dalam biomedikal

Sektor biomedikal terus tarik pelaburan baru semasa pandemik
Jun 18, 2021 | 5:30 AM
DPM HENG SWEE KEAT
DPM HENG SWEE KEAT -

SEDANG Singapura meneroka kemajuan dalam sains dan teknologi, ia harus memastikan bahawa kemajuan biomedikal memberi manfaat kepada warga dan sejajar dengan pegangan etika negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Heng Swee Keat.

Encik Heng berkata demikian dalam satu sidang awam secara maya bagi menandakan ulang tahun ke-20 Jawatankuasa Penasihat Bioetika.

Jawatankuasa yang ditubuhkan pada Disember 2000, menangani isu etika, perundangan dan sosial yang timbul daripada kajian sains biomedikal di Singapura serta membuat usulan kepada pemerintah.

Dalam ucapannya, Encik Heng menarik perhatian bahawa pelaburan dalam penyelidikan menjadi jelas apabila pandemik Covid-19 menimpa, dengan Singapura memanfaatkan keupayaannya dalam usaha memerangi virus itu.

Ini termasuk membangunkan ujian diagnostik, seperti kit ujian reaksi rantai polimerase Fortitude 2.0.

Kit itu kini digunakan oleh lebih 45 negara.

Selain itu terdapat juga alat menganalisa nafas, Breathonix dan TracieX yang direka untuk mengesan kehadiran Covid-19 dalam masa beberapa minit sahaja.

Encik Heng menambah bahawa sektor biomedikal terus menarik pelaburan baru semasa pandemik seperti kemudahan pengilangan oleh BioNTech, salah satu daripada dua syarikat yang menghasilkan vaksin Pfizer-BioNTech.

Sanofi Pasteur juga menubuhkan pusat pengeluaran vaksin yang mengeluarkan secara serentak berbilang jenis vaksin di Singapura.

Encik Heng juga menarik perhatian bahawa perkembangan pesat dalam kesihatan manusia juga akan membuka peluang beretika baru.

"Satu senario ialah penggunaan kecerdasan buatan dalam bioteknologi mungkin satu hari akan membolehkan saintis untuk mempengaruhi pemikiran manusia, emosi dan tabiat.

"Justeru, kita harus secara proaktif menangani keprihatinan sedemikian," ujar beliau.

Singapura juga sedang berusaha memastikan kerahsiaan data, privasi dan keselamatan dikekalkan dalam ia meneroka sempadan inovasi.

Misalnya, Jawatankuasa Penasihat Bioetika yang mempunyai 15 anggota termasuk pakar dalam bidang undang-undang, perubatan, agama dan media, sedang meneliti keperluan melaksanakan langkah tambahan apabila menggunakan huraian digital dalam sains biomedikal.

Tetapi, kata Encik Heng, adalah juga perlu untuk menimbangkan bagaimana untuk melindungi lebih baik privasi pesakit, memperolehi keizinan selepas memberi maklumat sepenuhnya dan menangani akses pihak ketiga dan tadbir urus sistem, tambah Encik Heng.

Beliau berkata Singapura mengenal pasti peri-pentingnya untuk mengambil pendekatan yang berpusat manusia dalam kajian dan inovasi.

Ini terbukti dalam pelan Kajian, Inovasi dan Perniagaan 2025, yang menyaksikan bidang sains biomedikal setempat memberi tumpuan kepada kesihatan dan potensi manusia, jelas Encik Heng.

"Ini mencerminkan penekanan kita terhadap penggunaan sains dalam satu cara yang akan memperbaiki kehidupan, dan menyerlah yang terbaik dalam setiap diri kita," tambah beliau.

Satu keutamaan dalam bidang ini ialah untuk memahami bagaimana manusia belajar, berfungsi dan melaksanakan tugas di peringkat kehidupan yang berbeza agar semua orang dapat berkembang dan mencapai potensi sepenuhnya.

Keutamaan kedua, kata Encik Heng, adalah untuk memanfaatkan data dengan selamat bagi menyokong inovasi kesihatan digital dan penjagaan kesihatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg