Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Wong: Pusat khusus bagi kesihatan awam bagi persiap pandemik masa depan

Pasukan khusus akan turut dibentuk bagi pantau risiko pandemik
Mar 21, 2023 | 5:30 AM
TIMBALAN PERDANA MENTERI, ENCIK LAWRENCE WONG
TIMBALAN PERDANA MENTERI, ENCIK LAWRENCE WONG -

SINGAPURA akan menubuhkan sebuah pusat khusus bagi kesihatan awam serta pasukan khusus yang boleh menjangka dan memantau risiko untuk mempersiap Singapura dengan lebih baik bagi pandemik akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ini menyusuli penerbitan kertas putih pada 8 Mac yang memberi perincian respons pemerintah terhadap pandemik Covid-19 serta mengenal pasti bidang yang boleh dipertingkat.

Semasa berucap di perbahasan berhubung kertas putih itu di Parlimen pada Isnin, Encik Wong menekankan perlunya untuk membina kepakaran dalam kesihatan awam dan pengurusan pandemik agar dapat mengesan patogen baru dengan cepat dan membangunkan langkah untuk mengawal penularan penyakit.

Sementara Singapura sudah pun memiliki sesetengah keupayaan ini, beliau berkata ia bertempat dalam pelbagai bahagian sistem penjagaan kesihatan termasuk Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan Kementerian Kesihatan (MOH).

Untuk menyatukan keupayaan dan kepakaran ini, Encik Wong berkata sebuah pusat khusus bagi kesihatan awam - serupa Pusat bagi Kawalan Penyakit di luar negara - akan ditubuhkan.

"Ini akan membolehkan kita membangunkan kecekapan lebih kukuh dalam kesihatan awam dan mengembangkan keupayaan ini," ujar beliau.

Menarik perhatian cabaran yang disebabkan Covid-19 pada tenaga manusia dan keupayaan penjagaan kesihatan Singapura, Encik Wong berkata segala keupayaan bagi perancangan masa akan datang yang diperuntuk sepanjang tiga tahun lalu antara lain bersaing dengan permintaan operasi bagi sumber serta keperluan lain untuk mengatasi isu segera.

Daripada pengalaman itu, beliau berkata Singapura akan menubuhkan sebuah pasukan perancangan khusus dengan keupayaan dan kepakaran untuk merancang bagi masa akan datang.

"Ini akan membantu kami menjangkakan cabaran akan datang dengan lebih baik, bangunkan tindakan kita yang seterusnya, serta membuat peralihan dengan lebih berkesan sedang situasi berkembang," ujar Encik Wong.

Malah, beliau berkata Singapura juga perlu memperkukuh daya ketahanannya sebagai sebuah negara, termasuk membina penampan tambahan sebagai sokongan semasa krisis serta mengatur aset dan sumber yang sedia ada dengan cepat.

Beliau turut menarik perhatian pentingnya rizab kewangan Singapura dan menyifatkannya sebagai sumber penting yang telah membolehkan pemerintah bertindak dengan berkesan dan bangkit dengan pantas dalam pandemik ini.

Sementara beliau akur terdapat bidang di mana pemerintah boleh melakukan lebih baik, Encik Wong berkata pemerintah telah bersikap terus terang dan telus supaya dapat belajar daripada pengalaman ini.

"Bukan semua keputusan yang kami buat tepat... pada masa yang sama, kami berterima kasih bagi kecekalan dan kesabaran semua orang apabila kami terpaksa melaksana langkah yang sukar dan apabila terdapat kelemahan dan kesilapan dalam dasar dan pelaksanaan kami," ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg