TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, telah dianugerahkan dengan Pingat Kehormat, anugerah tertinggi Hari Pekerja di Majlis Anugerah Hari Pekerja Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) 2023.
Penghormatan tersebut diberi bagi mengiktiraf komitmen dan sokongan Encik Wong terhadap pekerja dan kesatuan sejak sekian lama.
Diadakan di Pusat Pameran dan Persidangan Suntec Singapore pada 22 Mei, majlis tersebut mengiktiraf sejumlah 172 penerima anugerah yang terdiri daripada pemimpin persatuan, pekerja, rakan kerja pengurusan dan wakil pemerintah.
Encik Wong telah mengambil keputusan penting sebagai Menteri Kewangan sepanjang pandemik Covid-19 untuk melindungi pekerja dan mata pencarian mereka, kata NTUC.
Antaranya, $100 juta telah diketepikan bagi NTUC menggalak syarikat menubuhkan Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) dalam menyokong peningkatan kemahiran pekerja seiring dengan transformasi perniagaan.
Beliau juga memperkenalkan inisiatif Penyepadu Kerja-Kemahiran, yang menghimpunkan rakan kongsi industri, latihan dan kemudahan pekerjaan, termasuk NTUC, untuk menambah baik latihan dan pemadanan pekerjaan bagi pekerja.
Beliau turut menyokong usaha meningkatkan keadaan pekerjaan dan gaji pekerja terutama bagi mereka yang bergaji rendah dan kurang bernasib baik.
Encik Wong juga memulakan Skim Kredit Gaji Progresif untuk menyokong gaji progresif dan meningkatkan dengan ketara Tambahan Pendapatan Tambang Kerja, termasuk memperluaskannya untuk merangkumi pekerja lebih muda.
Semasa pandemik Covid-19, beliau melanjutkan Skim Insentif Pertumbuhan Pekerjaan untuk menggalak majikan menggajikan warga Singapura supaya pekerja dapat mengekalkan pekerjaan mereka.
Presiden NTUC, Cik Mary Liew berkata:
“Encik Wong telah memperjuangkan kepentingan pekerja dan mendedikasikan masa serta sokongan kepada Pergerakan Buruh kami.
“Beliau menjadi penyokong kuat pekerja dan model tiga pihak di Singapura; dan terus mengutamakan kebimbangan pekerja sedang beliau mengetuai pasukan generasi keempat dalam persekitaran pascapandemik yang mencabar.”
Encik Wong berkata anugerah yang diterimanya itu mengesahkan kepentingan kerjasama tiga pihak dan peranan utama Pergerakan Buruh dalam memajukan Singapura.
“Mudah bagi kita ambil ringan apa yang kita ada di Singapura,” katanya.
Memberi contoh, Encik Wong berkata ketika menuntut di universiti di Amerika Syarikat, beliau melihat pekerja mogok dan mula sedar betapa bezanya keadaan di negara lain.
Ketika berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, pula, beliau melihat betapa komitednya Encik Lee dalam membina hubungan rapat dengan kesatuan sekerja dan melibatkan pemimpin kesatuan sekerja.
“Saya mula sedar mengapa kerjasama tiga pihak berkesan bagi Singapura.
“Pengalaman kolektif berkumpul dan bersatu - menangani isu, mengatasi cabaran dan menangani krisis bersama-sama - telah membantu membina kepercayaan yang luar biasa.
“Itu adalah sesuatu yang istimewa dan unik yang kita mesti terus bina dan pupuk,” ujar Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg