Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

DPM Wong: Terima tugas PM dengan rendah hati, tanggungjawab mendalam

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DPM Wong: Terima tugas PM dengan rendah hati, tanggungjawab mendalam

Apr 15, 2024 | 06:40 PM



Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Lawrence Wong, tidak menyangka akan menjadi Perdana Menteri ketika menyertai politik pada 2011 tetapi menerima pelantikan kepimpinan itu dengan rendah hati dan rasa tanggungjawab yang mendalam.

Menzahirkan perasaannya, Encik Wong, 51 tahun, berjanji untuk memberikan yang terbaik ketika meneraju pucuk pimpinan Singapura selain juga meminta warga Singapura untuk bekerjasama dengan beliau dan pasukannya dalam menulis lembaran kisah negara seterusnya.

Encik Wong berkata demikian dalam satu mesej video kepada warga Singapura yang dimuat naik di media sosial pada 15 April, beberapa minit setelah Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan beliau akan mengangkat sumpah di Istana sebagai Perdana Menteri keempat republik ini pada 15 Mei.

Encik Wong akan menggantikan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang akan mengundur diri selepas 20 tahun menggalas jawatan tersebut.

Dalam video selama lebih 90 saat itu, Encik Wong berkata:

“Saya menerima tanggungjawab ini dengan rendah hati dan rasa tanggungjawab yang mendalam. Saya berikrar untuk memberikan yang terbaik kepada anda dalam usaha ini.

“Segala tenaga saya akan ditumpukan kepada berkhidmat untuk negara dan warga kita. Impian anda akan memberi inspirasi kepada tindakan saya. Kebimbangan anda akan membimbing keputusan saya.”

Encik Wong juga meminta sokongan warga Singapura dalam membentuk wawasan bersama Singapura sebagai satu negara.

“Saya meminta setiap daripada anda untuk menyertai saya dalam perjalanan ini. Kongsi idea anda. Kongsi minat dan impian anda. Bekerja dengan saya dan pasukan saya. Bersama-sama, kita boleh membina masa depan yang cerah bersinar untuk semua warga Singapura. Saya memohon keyakinan anda, sokongan anda dan kepercayaan anda yang berterusan terhadap visi bersama kita. 

“Sebagai satu rakyat yang bersatu padu tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama, kita akan membina sebuah masyarakat demokrasi berasaskan keadilan dan kesaksamaan. Marilah kita bergerak ke hadapan sebagai satu Pasukan Singapura dan menulis bab kisah Singapura seterusnya bersama-sama,” tambah beliau.

Pada April 2022, Encik Wong, yang ketika itu Menteri Kewangan, dipilih sebagai ketua pasukan Generasi Keempat (4G) oleh rakan seangkatannya, membuka laluan untuknya menjadi Perdana Menteri Singapura yang seterusnya.

Ini berikutan DPM, Encik Heng Swee Keat, sebelumnya dipilih sebagai ketua 4G, mengumumkan pada 2021 bahawa beliau akan berundur untuk memberi laluan kepada orang yang lebih muda.

Menteri 4G ketika itu meminta lebih masa untuk mencapai kata sepakat bagi memutuskan pemimpin mereka yang akan datang, sedang negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Akhirnya, Encik Lee menugaskan mantan menteri, Encik Khaw Boon Wan, untuk mengetuai proses perundingan, yang mana beliau bertemu setiap menteri 4G secara individu selepas perbahasan Belanjawan pada Mac 2022.

Akhirnya, 15 daripada 19 individu memilih Encik Wong sebagai ketua 4G yang dipilih dan beliau mengambil peranan tambahan sebagai DPM pada 13 Jun 2022. 

Sejak undi percaya itu, Encik Wong telah meningkatkan usaha yang sewajarnya untuk mempersiapkan diri bagi meneraju pucuk pimpinan Singapura. 

Selain memimpin sesi perbincangan dan maklum balas, Melakar Hala Tuju Singapura, atau Forward Singapore, beliau juga mengumumkan rancangan untuk memperbaharui, menyegarkan semula dan mengukuhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Beliau mula membuat lawatan untuk bertemu para aktivis daripada semua cawangan PAP.

Beliau mengorak langkah yang jelas dalam meningkatkan penguasaan bahasa Mandarin dan juga telah mewakili Singapura di peringkat antarabangsa. 

Pada 2023, beliau mengambil alih daripada Encik Heng sebagai pengerusi bersama Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala, iaitu wadah untuk mendekati antara pemerintah berperingkat tinggi antara Singapura dengan China.

Baru-baru ini, DPM Wong melawat Jerman dan Perancis dalam lawatan pertamanya ke Eropah dan bertemu pemimpin kanan pemerintah dan industri kedua-dua negara.

Beliau juga menghabiskan 10 hari di Amerika Syarikat pada Oktober 2023.

Pada konvensyen PAP pada November 2023, Encik Lee telah berkata beliau akan menyerahkan kepimpinan kepada Encik Wong menjelang November 2024, sempena ulang tahun ke-70 parti itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >