DEWAN Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) menyambut baik pengumuman pemerintah memberi sokongan tambahan kepada perniagaan di sini demi mengharungi cabaran Covid-19.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini (17 Ogos), Presiden DPPMS, Encik Farid Khan, melahirkan rasa terima kasihnya terhadap komitmen pemerintah berganding bahu dengan rakan kongsi tiga pihak untuk membantu Singapura mengatasi tempoh sukar ini.
"Dalam masa sukar ini, amat penting untuk pemerintah bekerjasama rapat dengan dewan perniagaan seperti (DPPMS) yang boleh memberikan gambaran mendalam mengenai keberkesanan langkah sokongan semasa krisis ini," ujar Encik Farid.
Sementara itu, dewan tersebut akur menyelamatkan dan mencipta pekerjaan kekal keutamaan penting dalam masa sukar ini.
Kata Timbalan Presiden DPPMS dan Pengerusi Pusat SME @ DPPMS, Encik Abu Bakar Mohd Nor:
"Krisis ini telah melahirkan permintaan bagi kemahiran baru dan cara bekerja baru.
"Oleh itu, perniagaan mesti bekerjasama dengan Pusat SME @ DPPMS untuk memanfaatkan semua skim sokongan yang ada yang boleh membantu mereka memberi kemahiran baru kepada pekerja serta menepati keperluan tenaga kerja mereka."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg