Usahawan Melayu di Singapura harus berani meneroka peluang kuak sayap perniagaan mereka ke negara di rantau Nusantara dan juga di Timur Tengah, kata Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Abu Bakar Mohd Nor.
Bercakap semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-65 DPPMS pada 5 Jun di Hotel Landmark Village, Encik Abu Bakar berkata DPPMS akan berkembang dan meningkatkan peranannya bagi memastikan ia boleh menjadi kapal induk atau mothership bagi perniagaan dan mendorong lebih banyak perniagaan untuk memandang ke luar.
“Peluang perniagaan di Nusantara, iaitu Indonesia, Malaysia dan Brunei, telah berkembang dengan ketara. Ini merangkumi satu kelompok pertumbuhan yang perlu diperhatikan oleh perniagaan.
“Satu kelompok lain ialah Timur Tengah, seperti Turkey, Kazakhstan dan Uzbekistan. Mereka sedang berkembang dan mereka melihat kepada Asia sebagai enjin pertumbuhan mereka.
“Jadi saya rasa kita perlu melihat semula dan memikirkan semula peranan DPPMS, untuk melihat bagaimana kita boleh memberikan nilai kepada perniagaan Melayu untuk berkembang ke dua kelompok ini,” ujar Encik Abu Bakar.
Encik Abu Bakar berkata wakil pemerintah dan perniagaan daripada kedua-dua kelompok telah bertemu DPPMS untuk meneroka kerjasama yang lebih besar dan bagi menggalakkan lebih banyak perniagaan milik Melayu agar berkembang ke rantau mereka.
Beliau menambah DPPMS, sebagai sebuah badan perniagaan yang berteraskan Islam dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang nuansa budaya Melayu tempatan, boleh memainkan peranan lebih besar untuk menyokong perniagaan yang tidak tahu bagaimana untuk berkembang ke luar negara.
“Kami sedang melihat untuk mengubah diri kami menjadi mothership, platform atau tempat di mana perniagaan boleh datang sebagai pintu masuk ke dua rantau itu.
“Jadi untuk melakukan ini, kami akan berkembang. Kami akan mengembangkan, mewujudkan lebih fokus dan mempertajam tumpuan kami dalam bidang ini untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada anggota-anggota kami,” kata Encik Abu Bakar.
DPPMS ialah badan bukan untung yang menumpukan usaha mewakili dan menyokong perniagaan Melayu/Islam Singapura.
Sehingga 2023, ia mempunyai 360 anggota daripada pelbagai industri termasuk makanan dan minuman (F&B), pembinaan dan kemudahan serta perundingan dan perkhidmatan kewangan.
Sebahagian besar anggotanya adalah daripada perniagaan sektor F&B Halal, yang merangkumi 144 anggota.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) selepas AGM itu, Encik Abu Bakar berkata DPPMS juga akan meningkatkan kempen kesedaran orang ramai mengenai pensijilan Pertubuhan Milik Orang Islamnya atau Muslim-Owned Establishment (MOE).
“Terdapat kebimbangan mengenai bagaimana pemegang sijil MOE boleh bersaing dengan lebih baik dengan perniagaan yang mempunyai pensijilan halal apabila ia melibatkan tender pemerintah.
“Kami sedang bekerjasama dengan pemerintah untuk melihat bagaimana kami boleh menangani perkara ini,” tambah Encik Abu Bakar.
Pensijilan MOE adalah alternatif untuk mendapatkan sijil halal daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi perniagaan milik orang Islam, atau 30 peratus milik orang Islam.
Sehingga 2023, terdapat 67 perniagaan yang telah memohon sijil tersebut.
Semasa AGM itu juga, lembaga pengarah DPPMS turut mengambil giliran untuk memberikan kemas kini kepada para anggota DPPMS tentang program dan kedudukan kewangan badan tersebut.
Tiada pemilihan atau pertukaran kepimpinan DPPMS pada 2024.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Meka Innovation Pte Ltd, Encik Shafiq Ali, 36 tahun, yang menghadiri AGM itu berkata beliau melihat positif arah tuju dan komitmen anggota lembaga pengarah.
“Saya rasa AGM ini sangat baik. Mereka telah meleraikan banyak kebimbangan anggota. Saya tahu DPPMS akan melakukannya dengan baik dan akan terus mendengar keprihatinan anggota dan akan terus membantu kami.
“Saya gembira ahli lembaga komited untuk berkongsi pengetahuan mereka dan melakukan pementoran. Saya fikir ia akan membantu pemilik perniagaan dan juga untuk masyarakat perniagaan yang lebih luas,” kata Encik Shafiq.
Beliau menambah bahawa berbanding dengan dewan perniagaan lain, DPPMS dilihat sebagai “lebih cool” kerana ia mempunyai reputasi menarik lebih ramai pemilik perniagaan yang lebih muda.
Walau bagaimanapun, beliau berasa bergerak ke hadapan, DPPMS boleh melakukan lebih banyak lagi untuk meningkatkan banyak kesedaran tentang program-programnya dengan lebih pendekatan berbentuk jangkauan.
Seorang lagi anggota DPPMS yang hadir, Pengarah Urusan Epilogue Multimedia Pte Ltd, Encik Sulaiman Surani, 40 tahun, berharap lebih banyak penglibatan boleh dilakukan dengan anggota DPPMS.
“Saya rasa AGM hari ini (5 Jun) amat berhasil kerana para anggota dapat diberi gambaran keseluruhan tentang apa yang telah dilakukan oleh DPPMS pada 2023. Saya gembira kerana dapat peluang menyertai beberapa program dan inisiatif.
“Saya hanya berharap pada masa hadapan, akan ada lebih banyak program sebegini, lebih banyak penglibatan dengan anggota dan lebih ramai anggota dalam DPPMS. Saya fikir pasti ada keperluan mendesak untuk benar-benar merekrut lebih banyak syarikat muda dan usahawan muda di DPPMS.
“Saya fikir lebih banyak boleh dilakukan dari segi bagaimana DPPMS dapat memahami keperluan usahawan muda memandangkan trend pasaran yang sentiasa berubah, trend teknologi terutamanya,” kata Encik Sulaiman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg