Topik diikuti
Pergi ke BHkuDPPMS yakin Lawrence upaya kemudi SG dalam peranan baru
DPPMS yakin Lawrence upaya kemudi SG dalam peranan baru
DPPMS yakin Lawrence upaya kemudi SG dalam peranan baru
DEWAN Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) melahirkan keyakinan Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, yang bakal menjadi Timbalan Perana Menteri (DPM), akan terus kemudi Singapura dalam peranan barunya kelak.
Dalam kenyataannya, Presiden DPPMS, Encik Farid Khan, berkata kerja keras serta kepimpinan Encik Wong telah membantu negara ini dalam pemulihan pospandemik.
"Kerja keras yang dilaksana dan kepimpinan yang dipamer Encik Wong dalam memimpin negara ini dan masyarakat semasa pandemik merupakan peranan penting dalam pemulihan pospandemik bagi negara ini.
"Sokongan yang diberi kepada perniagaan semasa tempoh ini amat penting dalam menstabilkan banyak perniagaan sewaktu masa-masa sukar. Justeru kami yakin Encik Wong akan terus mengemudi negara ini dalam perjalanan berterusan menerusi peranan baru ini," katanya.
Kenaikan pangkat Cik Rahayu Mahzam selaku Setiausaha Parlimen Kanan di Kementerian Undang-Undang dan Kementerian Kesihatan turut dialu-alukan DPPMS.
Cik Rahayu, kata Encik Khan, telah memainkan peranan contoh dalam masyarakat dan telah menunjukkan sokongannya secara konsisten kepada DPPMS.
"Baru-baru ini, Cik Rahayu telah menjadi tetamu terhormat di acara terbaru DPPMS, DEWI Fiesta, melibatkan ramai usahawan wanita.
"Kami percaya pelantikan terbaru ini boleh meluaskan usaha Cik Rahayu dalam melibatkan dan membantu masyarakat," kata Encik Khan.
DPPMS juga mengucapkan tahniah kepada semua menteri yang menerima peranan baru, dan "kami nantikan apa yang boleh dimainkan Kabinet baru untuk masa depan Singapura".
Encik Wong akan menjadi DPM mulai 13 Jun selain mengekalkan portfolio selaku Menteri Kewangan.
Beliau juga akan memikul tanggungjawab memimpin Kumpulan Strategi di Pejabat Perdana Menteri, mengambil alih daripada DPM Heng Swee Keat.
Ini diumum Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, kelmarin.
"Kerja keras yang dilaksana dan kepimpinan yang dipamer Encik Wong dalam memimpin negara ini dan masyarakat semasa pandemik merupakan peranan penting dalam pemulihan pospandemik bagi negara ini. Sokongan yang diberi kepada perniagaan semasa tempoh ini amat penting dalam menstabilkan banyak perniagaan sewaktu masa-masa sukar. Justeru kami yakin Encik Wong akan terus mengemudi negara ini dalam perjalanan berterusan menerusi peranan baru ini. - Encik Farid Khan, Presiden DPPMS.
