Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua agensi khidmat cari jodoh terbesar S’pura bergabung

Sep 10, 2024 | 6:00 PM
Pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif Lunch Actually, Cik Violet Lim, dan ketua pegawai eksekutif Paktor Group, Encik Alex Tam.
Pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif Lunch Actually, Cik Violet Lim, dan ketua pegawai eksekutif Paktor Group, Encik Alex Tam. - Foto LUNCH ACTUALLY PAKTOR GROUP

Dua agensi khidmat cari jodoh terbesar Singapura, Paktor Group dan Lunch Actually, telah bergabung untuk mengembangkan pilihan padanan pasangan bagi pelanggan mereka dan menawarkan pengalaman cari jodoh lebih terpadan.

Jenama di bawah kedua-dua syarikat itu akan terus beroperasi secara bebas selepas gabungan tersebut, dengan entiti baru akan dikenali sebagai Lunch Actually Paktor Group.

Pengasas bersama dan ketua eksekutif Lunch Actually, Cik Violet Lim, telah dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan baru ini.

Cik Lim berkongsi dalam satu wawancara dengan The Business Times (BT) pada 9 September bahawa gabungan itu akan membolehkan pelanggan sedia ada dan pengguna kedua-dua syarikat memanfaatkan rangkaian khidmat cari jodoh lebih luas dan padanan pasangan lebih besar.

Ditubuhkan pada 2004, Lunch Actually merupakan agensi khidmat mencari jodoh yang menghubungkan golongan bujang untuk makan tengah hari.

Syarikat itu mempunyai lebih 1.2 juta anggota serantau, dengan pejabat di Singapura, Taiwan, Hong Kong, Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Paktor Group pula ditubuhkan pada 2013 dan mempunyai lebih 20 juta pengguna dalam aplikasi khidmat cari jodoh Paktor di Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam.

Cik Lim mengakui bahawa kedua-dua syarikat tersebut mempunyai demografi pelanggan yang berbeza.

Sebahagian besar pelanggan Lunch Actually terdiri daripada golongan usia awal 30-an hingga lewat 40-an, manakala jenama khidmat cari jodoh luar talian Paktor, GaiGai, melihat kebanyakan pelanggan berusia 25 hingga lewat 30-an.

Ketua pegawai eksekutif Kumpulan Paktor, Encik Alex Tam, berkata gabungan itu akan membuka lebih banyak peluang untuk memadankan pelanggan dan pengguna merentas jenama berbeza Lunch Actually Paktor Group, serta menyusun padanan lebih sesuai.

“Contohnya jika kami tidak dapat mencari padanan yang sesuai untuk profil pada pangkalan data luar talian... kami boleh cari pangkalan data aplikasi (dalam talian) kami dan semak dengan pengguna jika mereka berminat untuk menerokai profil ini,” jelasnya.

Gabungan Lunch Actually dan Paktor Group berlaku di tengah-tengah kemerosotan populariti aplikasi khidmat cari jodoh di seluruh dunia tatkala golongan lebih muda meneroka cara lain untuk bertemu pasangan.

Menurut Tinjauan Cari Jodoh bagi Golongan Bujang 2024 oleh Lunch Actually Paktor Group pada 9 September, hanya separuh daripada 350 responden – berusia 18 hingga 65 tahun ke atas – menggunakan aplikasi khidmat cari jodoh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg