DUA majlis bandaran - Jurong-Clementi dan Pasir Ris-Punggol - dikesan tidak mematuhi peraturan majlis bandaran, kata Kementerian Pembangunan Negara (MND) semalam.
Ia merupakan kali pertama mereka melakukan kesilapan pentadbiran.
Namun, ia telah pun diperbetulkan.
Bagaimanapun, kedua-dua majlis bandaran itu diberi rating hijau bagi tadbir urus korporat.
Ini kerana setiap daripada mereka meraih markah kurang daripada satu mata.
Bagi tahun kewangan 2021, sebanyak 15 majlis bandaran lain juga diberi rating hijau.
MND berkata ia telah selesai melakukan semakan bagi penyata kewangan majlis bandaran yang sudah diaudit, laporan juruaudit mereka, serta pemeriksaan ke atas pengisytiharan pematuhan majlis bandaran.
Penyata yang sudah diaudit bagi 17 majlis bandaran itu telah dibentangkan ke Parlimen.
Kesemua 17 majlis bandaran mempunyai penyata kewangan tanpa syarat bagi tahun kewangan 2021.
Majlis bandaran Jurong-Clementi dan Pasir Ris-Punggol didapati tidak mematuhi peraturan majlis bandaran, kata Kementerian Pembangunan Negara (MND) semalam.
Ketidakpatuhan ini merupakan kesilapan pentadbiran kali pertama yang telah pun diperbetulkan, kata MND.
Bagi suku terakhir Jun 2021, Majlis Bandaran Jurong-Clementi telah memindahkan jumlah yang kurang ke akaun bank dana terikat dan penggantian lif disebabkan ralat pengiraan. Kekurangan itu telah diperbetulkan dalam pemindahan suku seterusnya.
Bagi suku terakhir September tahun lalu, Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol telah salah memperuntukkan sebahagian geran pemadanan dana penggantian lif dengan hartanah kediaman, daripada hartanah komersial. Rekod perakaunan diperbetulkan pada Oktober 2022.
Kedua-dua kejadian ini dianggap sebagai "keterukan yang rendah," kata MND.
Kedua-dua majlis bandaran itu diberi kadar hijau bagi tadbir urus korporat, memandangkan markah keseluruhan bagi setiap daripadanya adalah kurang daripada satu mata.
Majlis bandaran yang mendapat markah kurang daripada satu mata akan diberi kadaran hijau, sementara yang mendapat markah satu hingga kurang daripada dua markah akan diberi kadaran kuning jingga.
Kadaran merah adalah bagi dua mata dan ke atas.
Bagi tahun kewangan 2021, majlis bandaran lain juga diberi kadaran hijau, kata MND.
MND menambah bahawa walaupun majlis bandaran secara umumnya melaporkan lebihan bagi tahun kewangan 2021, mereka juga berdepan dengan tekanan kos yang ketara disebabkan kos tenaga kerja, harga tenaga yang lebih tinggi serta kos lebih tinggi bagi perkhidmatan penyelenggaraan.
"Peningkatan kos, seperti kenaikan harga tenaga, bukanlah sesuatu yang unik kepada Singapura, tetapi pemerintah mengambil langkah untuk mengurangkan sebahagian kesannya ke atas penduduk," kata MND.
Menurut MND, pemerintah telah menyediakan pelbagai geran kepada majlis bandaran serta rebat bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan kepada penduduk HDB agar dapat membantu mereka menangani kenaikan dalam kos kehidupan.
Pemerintah juga akan terus memantau kedudukan kewangan majlis bandaran.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg