Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua beradik gembleng tenaga kutip derma untuk Gaza

Sebahagian usaha kempen kumpul dana Humanity Matters bagi pemulihan, bantuan mangsa di Gaza
Dec 20, 2025 | 8:26 PM
gaza, bantuan, humanity matters, derma
Encik Azat Khan Mukarab Khan (tiga dari kanan) bersama anak-anaknya, Alif Akbar Khan (kanan) dan Afif Akbar Khan menyumbang tenaga sebagai sukeralawan dalam acara kutipan dana awam anjuran badan bukan pemerintah (NGO), Humanity Matters (HM), pada 20 Disember, bagi bantuan mangsa di Gaza. Mereka bertiga memperoleh derma daripada salah seorang pengunjung di pasar Geylang Serai. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi pasangan adik-beradik, Alif Akbar Khan Azat Khan dan Afif Akbar Khan Azat Khan, mereka meredah bahang mentari dan laluan pejalan kaki di Pasar Geylang Serai yang padat dengan pengunjung, demi mendapatkan derma daripada orang awam.

Mereka membawa tin derma sambil mengedarkan pelekat, ‘Satu Negara, Satu Kemanusiaan’, kepada orang awam sempena acara kutipan dana awam anjuran badan bukan pemerintah (NGO), Humanity Matters (HM), pada 20 Disember.

Alif yang berusia 16 tahun berkata pengalaman itu sedikit sebanyak merupakan sumbangan mereka, kepada usaha pemulihan dan bantuan mangsa konflik Israel-Hamas di Gaza.

Anak sulung tiga beradik itu berkata lebih daripada sekadar menyingsing lengan, ia membuat mereka sedar betapa pentingnya menyemai semangat kolektif untuk menggembleng tenaga agar kesannya dapat dirasai masyarakat.

Ini lebih-lebih lagi bagi golongan seusia mereka, tambahnya.

Ketika ditemui Berita Minggu, Alif berkata: “Saya anggap keperitan (kumpul dana) ini kecil sahaja berbanding apa yang dilalui oleh mangsa konflik di Gaza.

“Saya juga sedar tenaga dan masa yang saya sumbangkan dapat memberi kesan kepada si penerima.”

Kedua-dua mereka merupakan antara sekitar 200 sukarelawan yang tampil untuk menyokong edisi ketiga acara kutipan dana tersebut.

Ia sebahagian daripada kempen pengumpulan dana bagi bantuan di Gaza oleh HM – yang telah mengumpulkan lebih $1.9 juta dalam bentuk bantuan bagi mangsa konflik di Gaza sejak Oktober 2023 – dari November 2025 hingga Februari 2026.

Majlis perasmian acara itu diadakan di Gereja Armenia dan dihadiri antara lain, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong; Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi; Duta Kelana dan Pengerusi HM, Encik Ong Keng Yong; dan pemimpin berbilang agama.

Ini kali pertama kedua-dua beradik itu turun padang sebagai sukarelawan.

Mereka turut disertai bapa mereka, Encik Azat Khan Mukarab Khan, 42 tahun, dan seorang rakan Alif, Muhammad Rafique Hasim, 17 tahun.

Menurut Afif, 14 tahun dan anak kedua dalam tiga beradik, mereka mengetahui tentang acara kutipan tersebut daripada ayahnya dan tidak berfikir dua kali untuk turut serta.

“Saya anggap penglibatan saya (sebagai sukarelawan) adalah sebagai solidariti dan keprihatinan terhadap mangsa di Gaza.

“Ini semestinya bukanlah kali terakhir bagi kami kerana saya pasti ingin terlibat (dalam usaha sebegini),” katanya, sambil menambah ini menjadi pemangkin baginya menarik lebih ramai golongan seangkatan usia.

Ini turut dikongsi Alif, yang berkata dia ingin melihat lebih ramai belia dan golongan seusianya menyumbang kembali menerusi usaha kolektif.

Menyingkap sekiranya pengalaman sebagai sukarelawan juga adalah wadah bermuhasabah diri dan menarik lebih ramai belia, dia berkata:

“Dengan cara ini, kita dapat bermuhasabah diri, rasakan sedikit keperitan – seperti meraih dana atau memerah tenaga. Dari situlah timbul sifat belas kasihan (terhadap nasib orang lain).”

Encik Azat Khan pula berkata penglibatan kededua anaknya sebagai sukarelawan buat kali pertama diharap dapat kekal konsisten dalam usaha menyumbang tenaga selain menyemai keikhlasan dalam diri.

“Jika anda membuat sesuatu tanpa keikhlasan, ia mungkin agak payah untuk realisasikan (usaha itu). Saya boleh beri galakan, tetapi kemahuan tetap terletak pada diri sendiri.

“Ini di samping menanam semangat dermawan dan ihsan kerana tidak semua dapat lakukan kerja sukarela (secara konsisten),” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg