Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua buku baru bentang kajian 25 tahun tentang Munshi Abdullah

Mar 1, 2021 | 5:30 AM
HASIL KAJIAN: Dua buku ini berisi hasil kajian Profesor Hadijah Rahmat dari NIE. - Foto BH oleh ALPHONSUS CHERN
HASIL KAJIAN: Dua buku ini berisi hasil kajian Profesor Hadijah Rahmat dari NIE. - Foto BH oleh ALPHONSUS CHERN -

HASIL kajian lebih 25 tahun tentang tokoh kesusasteraan Melayu Abdullah bin Abdul Kadir Munshi, yang lebih dikenali sebagai Munshi Abdullah, telah dikumpulkan dan dibentangkan dalam dua buah buku.

Buku tersebut menyelami latar belakang pemikir Melayu abad ke-19 itu serta membentangkan perspektif tentang topik berbeza, termasuk kesusasteraan Melayu-Indonesia, sejarah Singapura dan penjajahan Asia Tenggara.

Ia karya pendidik dan pengkaji Profesor Madya Hadijah Rahmat, yang juga merupakan ketua Kumpulan Akademik Bahasa dan Kebudayaan Asia Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Dalam satu acara di The Pod di Lembaga Perpustakaan Nasional (NLB) kelmarin, Profesor Hadijah berkata karya itu hasil minat dan misi peribadinya mencari jawapan bagi persoalan berkaitan Munshi Abdullah.

"Saya berharap perjalanan yang saya lalui ini dapat memberi inspirasi kepada pengkaji lebih muda demi mempertingkat taraf kesusasteraan, budaya, tamadun dan kemanusiaan sejagat," katanya.

Buku itu mengandungi beberapa hasil kajian akademik Profesor Hadijah dari 1992 hingga 2019 yang dibentang di seminar serantau dan antarabangsa serta dicetak di jurnal pendidikan dan buku berbeza.

Ia juga merangkumi petikan daripada persembahan teater berjudul Munsyi, lukisan, sajak, lagu dan juga temu ramah yang dilakukan media tempatan.

Buku pertama setebal 528 halaman dan memaparkan teks tulisan Munshi Abdullah serta perbandingan dengan teks lain. Buku kedua setebal 688 halaman dan mengetengahkan lingkungan kehidupan, karya, pelayaran dan warisannya.

Semasa acara kelmarin, sebuah panel ilmuwan tempatan membincagkan isi buku tersebut. Panelis terdiri daripada Profesor John Miksic daripada Jabatan Kajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS); Dr Azhar Ibrahim Alwee, pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, NUS; dan perunding antarabangsa yang juga jurulatih kerjaya, Tengku Sri Indra Tengku Ismail.

Pemudah cara ialah Profesor Madya Dr Farish Noor daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), NTU.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg