POLIS telah menahan seorang lelaki dan seorang wanita, kedua-duanya berusia 30 tahun, kerana disyaki terlibat dalam kes peras ugut.
Polis dalam kenyataannya menyatakan, ia menerima laporan sekitar jam 6.50 petang pada 31 Mei lalu dari seorang lelaki, yang merupakan mangsa kes, memaklumkan bahawa seorang kenalan dalam talian telah mengancam untuk mendedahkan maklumat sulit berkaitan mangsa sekiranya beliau tidak memindahkan wang kepadanya.
Antara 28 Mei dan 29 Mei lalu, mangsa telah memindahkan lebih $22,500 ke akaun bank tempatan.
Hasil pertanyaan di lapangan dan dengan bantuan gambar dari kamera polis, pegawai dari Polis Divisyen Bedok berjaya mengenalpasti identiti kedua-dua mereka.
Awal siasatan mendapati kedua-duanya terlibat dalam kes mencuri motosikal dan pinjaman wang tidak berlesen.
Selepas operasi selama tiga hari, anggota polis dari Divisyen Bedok dan Jurong berjaya menahan kedua-duanya semalam.
Kedua-dua mereka dijadualkan didakwa di mahkamah hari ini atas kesalahan dengan pemerasan.
Kesalahan pemerasan membawa hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun, dan tidak lebih dari tujuh tahun, dan dirotan.
Di bawah Akta Peminjam Wang (Edisi Semakan 2010), untuk pesalah kali pertama, mereka berdepan dengan hukuman denda tidak kurang dari $5,000 dan tidak lebih dari $50,000, dan dipenjara sehingga lima tahun.
Bagi kesalahan mencuri kenderaan bermotor pula membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg