DUA hotel di Resorts World Sentosa tidak akan diizinkan menerima tempahan baru selama sebulan kerana gagal mematuhi langkah jarak selamat Covid-19.
Dalam satu kenyataan pada Isnin (21 Dis), Lembaga Pelancongan Singapura (STB) berkata penggantungan tempahan tersebut yang dikenakan ke atas Beach Villas dan Hotel Equarius akan bermula dari Selasa (22 Dis) hingga 21 Januari.
Namun hotel-hotel itu masih boleh memenuhi tempahan sedia ada, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Sejak Isnin, 10 hotel dan asrama telah disaman kerana melanggar langkah jarak selamat seperti gagal melaksanakan pemantauan semasa mendaftar masuk atau mencatatkan butiran kontak tetamu yang memasuki premis mereka, kata STB.
Pegawai penguatkuasaan STB mendapati sekurang-kurangnya 15 individu telah berhimpun di sebuah villa dua tingkat di Beach Villas pada 10 Oktober lalu, namun tempahan bagi villa itu didaftar di bawah empat individu.
Antara kumpulan 15 orang itu, hanya empat individu telah didaftar sebagai tetamu hotel berkenaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg