PENDUDUK Bukit Panjang akan dapat ke Ekspreswe Kranji (KJE) dalam masa yang lebih singkat mulai 17 Disember ini, dengan pembukaan dua jalan susur.
Jalan susur itu adalah sebahagian daripada fasa terakhir pertukaran lalu lintas di Senja Road dan KJE, yang telah dibuka secara berperingkat sejak Januari lalu
Terdiri daripada dua jejambat, pertukaran itu akan memberi manfaat kepada pemandu di kawasan Senja dan Bukit Panjang dengan menyediakan laluan terus ke KJE.
Kerja-kerja di pertukaran lalu lintas itu bermula pada November 2017. Perubahan juga dibuat pada jalan bersebelahan.
Januari lalu, satu bahagian jejambat yang menghubungkan ke KJE ke arah Tuas dan Woodlands Road telah dibuka.
Selepas itu, Senja Link dan sebahagian Senja Road telah ditukar menjadi jalan sehala April lalu.
Ini menambah kapasiti jalan raya itu dengan menjangkakan peningkatan lalu lintas di kawasan tersebut.
Sejak 25 September lalu, pengguna jalan raya dari Senja Road telah dapat ke Ekspreswe Bukit Timah (BKE) secara langsung, dengan bahagian jejambat di persimpangan itu dibuka.
Jalan susur baru itu akan membolehkan pemandu di KJE atau BKE memasuki kawasan Bukit Panjang dengan lebih mudah.
Bagi memaklumkan pemandu, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata ia akan memasang papan tanda trafik di sekitar jalan susur itu lebih dekat dengan tarikh pembukaannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg