Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua kabin merokok di Clementi
Dua kabin merokok di Clementi
DUA kabin merokok khas disediakan di estet perumahan di Clementi bagi mengatasi isu aduan asap rokok kedua (second-hand). Dilancarkan pada Rabu (30 Jun), ia terletak di Clementi Ridges dan Trivelis, kedua-duanya di Clementi Avenue 4. Ini menyusuli peningkatan aduan asap rokok kedua di kejiranan apabila lebih ramai orang bekerja dari rumah dalam pandemik Covid-19 ini, kata Cik Sim Ann, penasihat akar umbi divisyen Bukit Timah. Kabin itu akan kekal di situ sekurang-kurangnya setahun bagi memberi masa mencukupi untuk keberkesanannya. Pasukan akar umbi memutuskan menjalankan percubaan itu berikutan perbincangan bersama lebih 70 penduduk di estet di sana. "Penduduk menyokong idea kabin merokok ini dan mengatakan reka bentuknya itu harus mempunyai akses senang untuk berjaya," kata Cik Sim. "Hipotesis kami ialah perokok ingin menggunakan (tempat merokok yang ditetapkan) secara berkala dan bukan merokok di rumah mereka sendiri, (ia) mesti berada di lokasi selesa dan sekurang-kurangnya selesa seperti rumah perokok, jika tidak lebih selesa. "Faktor utama yang harus diatasi ialah cuaca panas pada siang hari, " kata Pejabat Kawasan Undi Bukit Timah dalam satu kenyataan. Kabin merokok di Trivelis berukuran kira-kira tiga meter kali dua setengah meter dan berhawa dingin. Ia dibangunkan Smoking Cabin SG, tertutup dan dilengkapi dengan sistem penyaringan. Kabin di Clementi Ridges, berukuran sekitar empat meter kali tiga meter, adalah unit terbuka yang dibangunkan oleh ST Engineering. Ia dilengkapi dengan sistem pendingin yang berjalan selama 15 minit apabila butang ditekan.