Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua kapal transit di S’pura disyaki bawa sisa toksik, kargo diarah kembali ke Albania

Badan pengawas: Negara dalam rangkaian kiriman kapal tidak dimaklum tentang kargo sebagaimana ditetapkan perjanjian PBB
Aug 27, 2024 | 8:04 PM
Pada masa tertentu dalam perjalanan ke Asia Tenggara, kededua kapal ‘Maersk Campton’ dan ‘Maersk Candor’ telah hilang dari radar untuk tempoh masa panjang yang amat luar biasa.
Pada masa tertentu dalam perjalanan ke Asia Tenggara, kededua kapal ‘Maersk Campton’ dan ‘Maersk Candor’ telah hilang dari radar untuk tempoh masa panjang yang amat luar biasa. - Foto REUTERS

Dua kapal yang berlabuh di pantai Singapura pada Ogos dan dipercayai membawa sisa toksik tidak diisytiharkan, diarahkan pulang ke tempat asal kargo haram itu oleh pihak berkuasa di sini.

Menurut sebuah badan pengawas sisa berbahaya, kargo sisa toksik berasal dari Albania itu mengandungi habuk relau keluli toksik.

Kededua kapal itu meninggalkan Albania dan menuju ke Italy pada Julai.

Habuk relau keluli toksik mengandungi logam berat seperti zink dan plumbum yang boleh larut apabila dibuang di darat, mencemari air bawah tanah.

Debu berbahaya itu boleh menyebabkan iritasi, atau kerengsaan, serius pada mata, kulit dan paru-paru, malah boleh menyebabkan barah, lapor The Straits Times.

Di Italy, kargo tersebut dimuatkan ke dalam dua kapal, Maersk Campton dan Maersk Candor, oleh syarikat perkapalan Denmark, Maersk.

Kapal Maersk Campton membawa 41 kontena, manakala Maersk Candor membawa 61 kontena.

Dalam satu kenyataan pada 5 Ogos, badan pengawas itu, Basel Action Network, menyatakan kededua kapal itu melakukan pelayaran ke Thailand.

Singapura nampaknya merupakan satu perhentian persinggahan sepanjang pelayaran itu.

Konvensyen Basel ialah satu perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan kegiatan pembuangan atau pemerdagangan haram sisa toksik adalah satu jenayah.

Di bawah konvensyen itu, pengeksport atau penjana sisa toksik perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa negara penerima sebelum sisa tersebut dipindahkan.

Namun, Basel Action Network menyatakan beberapa negara dalam rangkaian pengiriman kapal itu tidak dimaklumkan mengenai kargo sisa toksik tersebut.

“Albania tidak pernah dimaklumkan mengenai eksport (sisa toksik itu) oleh pengeksport, negara transit tidak dimaklumkan, dan Thailand tidak menerima sembarang pemberitahuan,” kata Basel Action Network dalam satu kenyataan pada 19 Ogos.

Pada masa tertentu dalam pelayaran ke Asia Tenggara, tempat kegiatan pembuangan sisa haram dari negara lain dilakukan secara berleluasa, kededua kapal itu hilang daripada radar selama satu tempoh masa panjang yang amat luar biasa, tambah Basel Action Network.

GPS Sistem Pengenalan Automatik (AIS) Maersk Campton dimatikan pada 31 Julai, dan kapal itu tidak berlabuh di Cape Town pada 1 Ogos seperti yang dijadualkan, kata badan pengawas itu.

Maersk Candor pula hilang dari radar dari 9 hingga 19 Ogos.

Basel Action Network kemudian memaklumkan pihak berkuasa di Albania, beberapa negara transit, dan Thailand mengenai kiriman tersebut.

Pada 18 Ogos, Maersk Campton dipercayai memunggah 41 kontenanya di Singapura, kata badan pengawas itu.

Pada esoknya, kontena itu dipindahkan ke kapal lain di bawah Mediterranean Shipping Company SA, yang dijadualkan belayar ke Italy pada 21 Ogos, ujarnya.

Maersk Candor, yang membawa baki 61 kontena, berlabuh di Singapura pada 24 Ogos. Carian di portal pengesanan maritim MarineTraffic.com menunjukkan Maersk Candor berlabuh di Terminal Pasir Panjang pada 25 Ogos.

Menjawab pertanyaan ST, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata pada 26 Ogos bahawa mereka menerima maklumat mengenai dua kapal Maersk yang menuju ke Singapura membawa kontena yang dilaporkan mengandungi sisa bahan berbahaya yang tidak diisytiharkan.

“Kami memaklumkan kepada Maersk, yang memberitahu kami mereka menghantar kontena itu kembali ke negara eksport. Maersk Campton telah berlabuh dan berlepas dari Singapura, dan Maersk Candor sedang dalam pelayaran,” kata dua agensi itu.

Singapura menandatangani Konvensyen Basel pada 1996.

Negara ini menggubal Akta Sisa Berbahaya (Kawalan Eksport, Import dan Transit) dan Peraturannya bagi mengawal selia eksport, import dan transit sisa toksik mengikut Konvensyen itu.

Sembarang pihak yang ingin memindahkan sisa tersebut ke sini memerlukan permit daripada Jabatan Kawalan dan Pengurusan Kimia NEA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg