PENGASAS bersama Novena Global Healthcare Group (NGHG), Nelson Loh dan pekerjanya, Michael Wong, telah ditangkap dan didakwa atas kesalahan pemalsuan.
Menurut pihak polis dalam satu kenyataan mereka semalam, kedua-dua lelaki itu telah dikehendaki sejak dua tahun lalu.
Kedua-dua warga Singapura berusia 43 tahun itu telah didakwa di mahkamah semalam.
Mereka telah meninggalkan Singapura pada awal September 2020.
Dalam masa beberapa hari selepas mereka keluar dari Singapura, pihak polis telah menerima laporan bahawa tandatangan firma perakaunan Ernst & Young telah dipalsukan dalam beberapa penyata kewangan NHGH.
Waran penangkapan dan notis merah Interpol telah dikeluarkan terhadap mereka.
Pengarah Jabatan Ehwal Komersial (CAD), Encik David Chew, menyatakan bahawa pihak polis akan melakukan apa sahaja yang perlu dan dibenarkan secara sah untuk menahan dan menghantar pulang individu yang bersembunyi di luar negara.
"Kami akan bekerjasama dengan Interpol dan rangkaian luas kami di luar negara serta rakan kongsi penguatkuasa undang-undang untuk mencari mereka yang melakukan jenayah di Singapura dan cuba mengelak daripada keadilan dengan melarikan diri ke luar negara.
"Kami menghargai sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh Kementerian Keselamatan Awam China dalam membawa pulang kedua-dua individu ini ke Singapura," ujar beliau.
Dengan kerjasama dan bantuan rakan asing dari China, kedua-dua lelaki itu kembali ke Singapura Sabtu lalu dan ditangkap oleh CAD pada hari yang sama.
Loh didakwa atas dua kesalahan pemalsuan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Wong pula didakwa atas dua kesalahan pemalsuan mengikut Seksyen 471 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Mereka didakwa memalsukan penyata kewangan NGHG yang telah diaudit pada 2019 dan menggunakan penyata tersebut untuk mendapatkan pinjaman bank berjumlah $18 juta.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun dan denda. Siasatan lanjut sedang dijalankan.
NGHG dibentuk oleh Loh dan sepupunya, Terence Loh dan mereka mula menarik perhatian media pada 2020 apabila membuat tawaran mengambil alih £280 juta ($457 juta) untuk kelab Liga Perdana England, Newcastle United.
Pada Oktober 2020, selepas berita tentang dakwaan pemalsuan tersebar, kedua-dua sepupu itu mengasingkan kepentingan perniagaan mereka.
APA KATA PENGARAH CAD
"Kami akan bekerjasama dengan Interpol dan rangkaian luas kami di luar negara serta rakan kongsi penguatkuasa undang-undang untuk mencari mereka yang melakukan jenayah di Singapura dan cuba mengelak daripada keadilan dengan melarikan diri ke luar negara. Kami menghargai sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh Kementerian Keselamatan Awam China dalam membawa pulang kedua-dua individu ini ke Singapura." - Pengarah Jabatan Ehwal Komersial (CAD), Encik David Chew.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg