Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua lelaki dengan rekod jenayah kini didakwa miliki senjata

Jan 14, 2026 | 6:13 PM
Kes melibatkan kedua-dua lelaki itu telah ditangguhkan ke 21 Januari.
Kes melibatkan kedua-dua lelaki itu telah ditangguhkan ke 21 Januari. - Foto fail

Dua lelaki yang sebelum ini didakwa atas beberapa kesalahan yang tidak berkaitan, kini dituduh memiliki senjata.

Pada 14 Januari, Muhammad Farhan Amran, 22 tahun, dan Poh Wei Kiong, 34 tahun, masing-masing dikenakan satu tuduhan kerana memiliki senjata berhampiran Blok 492D, Tampines Street 45, sejurus selepas tengah malam pada 13 Januari.

Farhan didakwa memiliki sebilah parang, manakala Poh didakwa memiliki penumbuk besi (knuckleduster).

Dalam satu kenyataan, polis berkata pegawainya telah dimaklumkan mengenai satu kes melibatkan pemilikan senjata api tanpa kebenaran di Woodlands Close sekitar 4.20 petang pada 12 Januari.

Mereka berjaya mengenal pasti Farhan lalu menahannya. 

Menurut seorang jurucakap polis, Farhan ditemui bersama empat individu lain. 

Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk dua pistol ‘airsoft’, satu pedang samurai, satu baton, tiga parang, satu kapak, satu pisau belati, satu penumbuk besi, beberapa pod vape yang mengandungi etomidate, serta dua plat nombor kereta yang telah dibatalkan pendaftarannya.

Farhan, yang kini berdepan lebih 20 tuduhan secara keseluruhan, kali pertama dibawa ke mahkamah pada 2024.

Antara lain, dia didakwa bekerjasama dengan seorang lelaki lain untuk mencuri sebuah motosikal bernilai sekitar $8,000 pada 14 Januari 2022.

Pada 9 Jun 2022, dia didakwa terlibat dalam satu konspirasi dengan individu tidak dikenali untuk menipu bank.

Menurut dokumen mahkamah, Farhan didakwa menyebabkan sebuah bank membuka akaun atas namanya tanpa membuat pemeriksaan sewajarnya terhadap pemilik muktamad akaun itu, namun tujuan akaun tersebut tidak dinyatakan.

Ketika dibebaskan dengan jaminan, dia didakwa memiliki sebilah parang pada 13 Januari.

Poh pula didakwa atas kesalahan mengedar dadah pada 2025.

Dia dituduh memiliki lapan peket ‘bahan sayuran’ yang dipercayai mengandungi ganja di sebuah unit di Pan Pacific Serviced Suites Beach Road, pada 3 Julai 2025.

Dia dikatakan mengulangi kesalahan dengan memiliki penumbuk besi pada 13 Januari 2026.

Kes melibatkan kedua-dua lelaki itu telah ditangguhkan ke 21 Januari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg