Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua remaja 14 tahun antara 134 ditangkap dalam operasi CNB  

Oct 21, 2023 | 12:21 PM
DADAH DIRAMPAS: Pelbagai dadah termasuk heroin telah dirampas dari sebuah unit komersial di Serangoon North pada 17 Oktober.
DADAH DIRAMPAS: Pelbagai dadah termasuk heroin telah dirampas dari sebuah unit komersial di Serangoon North pada 17 Oktober. - Foto CNB

Dua remaja berusia 14 tahun merupakan antara 134 suspek pesalah dadah yang ditangkap dalam satu operasi anti-dadah yang dijalankan dari 8 hingga 20 Oktober 2023, kata Biro Narkotik Pusat (CNB).

Menurut kenyataan CNB pada Sabtu, dadah bernilai lebih daripada $600,000 telah dirampas ketika menjalankan operasi mereka di Bedok, Clementi, Hougang, River Valley dan Tiong Bahru. 

Antara yang dirampas ialah sekitar 1,296 gram dadah heroin, 373 gram dadah ‘Ice’ dan 9,605 gram ganja.

Pada petang 8 Oktober, polis telah menahan seorang budak remaja berusia 14 tahun kerana disyaki terlibat dengan kesalahan dadah di sebuah unit perumahan di Yishun Street 51.

Kira-kira 1 gram dadah ‘Ice’ dan beberapa peralatan dadah telah ditemui.   

Selepas kes itu dirujuk kepada CNB untuk siasatan lanjut, pegawai biro memberkas seorang lagi remaja berusia 14 tahun dan abangnya yang berusia 22 tahun pada sebelah malam di sebuah unit perumahan di Canberra. 

Kira-kira 17 gram ‘Ice’ dan beberapa peralatan dadah telah dirampas dari unit itu, kata CNB, sambil menambah bahawa dua remaja berusia 14 tahun itu adalah suspek termuda yang ditangkap dalam operasi itu. 

Seorang lelaki warga Singapura berusia 35 tahun dan seorang wanita warga Singapura berusia 56 tahun diberkas semasa serbuan di sebuah unit komersial di Serangoon North pada 17 Oktober. 

“Kira-kira 979 gram heroin, 250 gram ganja, dan 19 gram dadah ‘Ice’ telah dirampas.

“Para pegawai kemudian mengiringi lelaki dan wanita itu ke sebuah unit kediaman di sekitar Woodlands Drive 62, di mana kira-kira 25 gram heroin dirampas,” kata CNB. 

Menurut CNB, siasatan terhadap kesemua suspek yang ditangkap sedang dijalankan.

Mereka yang didapati bersalah mengedar lebih daripada 15 gram heroin tulen (diamorphine) atau 500 gram ganja boleh menghadapi hukuman mati.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg