DUA stesen cas dan tukar bateri motosikal elektrik percubaan telah dilancarkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bagi menggalak penggunaan kenderaan tenaga bersih dalam pengangkutan darat Singapura.
Percubaan tersebut dikendali syarikat Taiwan Gogoro dan penyedia bateri MO Bateries yang berpangkalan di Singapura.
Kemudahan tersebut akan membolehkan bateri motosikal elektrik yang sudah habis diguna dicas sepenuhnya dalam beberapa saat.
Kedua-dua kemudahan percubaan itu diguna bagi kerja penghantaran.
Gogoro akan bekerjasama dengan Jardine Cycle & Carriage untuk menjalankan percubaan itu motosikal elektrik mereka serta stesen tukar bateri bagi penghantaran tahap akhir.
MO Batteries pula akan bekerjasama dengan SingPost dan penyedia khidmat keselamatan Prosegur untuk mencuba motosikal mereka serta sebuah pusat bersepadu bagi mengecas, mengganti dan menyimpan baterinya, kata LTA dalam satu kenyataan semalam.
Percubaan terkawal bersama Gogoro itu akan melibatkan 20 motosikal elektrik dan 100 bateri boleh diganti di dua pusat penukaran bateri Gogoro GoStation.
MO Batteries akan melibatkan enam motosikal elektrik dengan 30 bateri boleh diganti, 14 pusat mengecas dan dua stesen penukaran dan penyimpanan bateri, kata seorang jurucakap LTA semasa menjawab pertanyaan media.
Kedua-dua percubaan itu akan dimulakan dalam beberapa minggu ini dan berjalan selama 12 bulan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg