“
DUA lelaki warga Singapura disyaki pesalah dadah diberkas dalam satu operasi Biro Narikotik Pusat (CNB) Rabu (8 April), dan merampas 2.29 kilogram dadah heroin dan 120 gram dadah 'ice'. Dalam satu kenyataan Khamis, CNB berkata salah seorang pesalah dadah yang disyaki, berusia 41 tahun, diberkas di tempat letak kereta bertingkat di daerah Sembawang Crescent. Sekitar 40 gram heroin ditemui di dalam kereta yang dipandunya. Seorang lagi berusia 44 tahun, diberkas dalam sebuah unit di Pipit Road. Pegawai CNB juga menemui wang tunai berjumlah $459.45 di dalam unit itu. Sebanyak 2,250 gram heroin ditemui di dalam kereta sewa suspek itu, yang diletakkan di daerah Pipit Road. Wang tunai berjumlah $3,350 juga ditemui di dalam kereta tersebut.Suspek itu kemudian dibawa ke kediaman rasminya di Yishun Street 61 di mana sekitar 120 gram 'ice' ditemui di dalam. Siasatan ke atas kegiatan dadah kedua-dua suspek sedang dijalankan.
CNB berkata jumlah heroin yang dirampas itu cukup untuk memuaskan ketagihan sekitar 1,090 penagih seminggu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg