Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua syarikat setempat dalam Kertas Pandora di bawah penelitian intensif MAS

Nov 4, 2021 | 5:30 AM
DITELITI: Asiaciti Trust Singapore dan Trident Trust Company Singapore, yang disebut dalam Kertas Pandora, telah tertakluk kepada tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan MAS sebelum kebocoran itu. - Foto fail
DITELITI: Asiaciti Trust Singapore dan Trident Trust Company Singapore, yang disebut dalam Kertas Pandora, telah tertakluk kepada tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan MAS sebelum kebocoran itu. - Foto fail -

DUA syarikat yang disebutkan dalam Kertas Pandora dan mempunyai kegiatan perniagaan di Singapura berada di bawah "penelitian intensif" Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sebelum mereka terlibat dalam kebocoran data itu, kata Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semalam.

Kertas Pandora itu tidak menimbulkan sebarang keprihatinan besar terhadap kawalan pembiayaan anti-pengubahan wang haram dan melawan pengganasan institusi kewangan di Singapura berdasarkan penilaian MAS dan maklumat sedia ada sejauh ini, kata Encik Wong di Parlimen.

"Namun begitu, MAS sedang mendekati institusi relevan untuk menilai jika pengetatan kawalan adalah wajar," tambah beliau.

Encik Wong berkata demikian dalam menjawab soalan daripada beberapa Anggota Parlimen (AP) mengenai kebocoran data di luar negara itu dan bagaimana MAS memastikan khidmat pengurusan kekayaan luar negara di Singapura terus mengikuti undang-undang dan sah mengikut piawaian antarabangsa.

Beliau berkata kedua-dua syarikat amanah berlesen dengan kegiatan perniagaan di Singapura yang disebutkan dalam kertas itu - Asiaciti Trust Singapore dan Trident Trust Company Singapore - telah tertakluk kepada tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan MAS sebelum kebocoran itu.

Asiaciti Trust berpangkalan di Singapura, manakala Trident Trust kelihatan berpangkalan di British Virgin Islands, menurut Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ) yang menerima dokumen yang dibocorkan itu.

ICIJ berkata Trident Trust "telah, selama berdekad lamanya, kurang mendedahkan tentang identiti pemiliknya", dan konsortium itu tidak dapat mengesahkan nama mana-mana pemilik atau pengasas firma itu.

Namun, Trident Trust mempunyai pejabat di lebih 20 wilayah, termasuk Singapura, Panama, Seychelles dan Switzerland.

Tahun lalu, MAS mengenakan penalti $1.1 juta terhadap Asiaciti Trust kerana kurang perlindungan terhadap pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganasan, termasuk kegagalannya memantau urus niaga besar yang luar biasa oleh pelanggan yang "didedahkan secara politik".

Ia berkata Asiaciti Trust telah melakukan pelbagai "pelanggaran serius" selama lebih sedekad, termasuk kegagalan memantau pelanggan berisiko lebih tinggi dengan lebih ketat.

Trident Trust Company Singapore diarahkan MAS pada September tahun lalu untuk memperbetulkan kelemahan yang dikesan dalam kawalan penilaian risikonya semasa pemantauan penyeliaan pihak berkuasa itu, kata Encik Wong.

Memberi jaminan kepada Dewan bahawa Singapura mengambil serius terhadap kewibawaan sektor kewangannya, beliau menambah:

"Sebagai sebuah pusat kewangan antarabangsa utama, Singapura akan sentiasa menghadapi risiko aliran kewangan haram.

"Apa yang penting adalah kita menyelia institusi kewangan kita dengan baik dan mengambil tindakan penguatkuasaan kukuh, jika perlu, untuk mengurangkan risiko ini sebanyak mungkin. MAS telah melakukan ini dan akan terus berbuat demikian."

Kertas Pandora yang mendedahkan lebih 11.9 juta rekod, berjumlah sekitar 2.94 terabait data, didakwa mengaitkan pemimpin dunia dengan simpanan kekayaan rahsia, termasuk Raja Abdullah dari Jordan dan Perdana Menteri Czech, Encik Andrej Babis.

Ini lima tahun setelah kebocoran yang dikenali sebagai Kertas Panama mendedahkan cara wang disembunyikan golongan kaya dalam cara yang tidak dapat dikesan agensi penguatkuasaan undang-undang.

"Sebagai sebuah pusat kewangan antarabangsa utama, Singapura akan sentiasa menghadapi risiko aliran kewangan haram. Apa yang penting adalah kita menyelia institusi kewangan kita dengan baik dan mengambil tindakan penguatkuasaan kukuh, jika perlu, untuk mengurangkan risiko ini sebanyak mungkin. MAS telah melakukan ini dan akan terus berbuat demikian." - Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg