LEMBAGA Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah bekerjasama dengan kontraktor untuk membina dua tempat tinggal sementara (TLQ) di tapak binaan Bedok North Vale bagi membolehkan pekerja sihat yang tidak dibenarkan meninggalkan dormitori dapat terus bekerja.
Ini adalah antara langkah yang diambil HDB untuk membantu syarikat kontraktor utama projek itu, China Construction Realty Co Pte Ltd, memanfaatkan sepenuhnya tenaga kerja, mengatasi hambatan aliran tunai dan gangguan rantai bekalan disebabkan pandemik.
Menurut kenyataan HDB semalam, bagi membolehkan kerja-kerja disambung semula dengan cepat selepas tempoh pemutus rantai jangkitan, dua TLQ dibina bagi memindahkan pekerja sihat dari dormitori lain dan ditempatkan dalam sekitaran yang selamat di tapak binaan.
Dengan bantuan HDB mempercepatkan proses permohonan, TLQ itu dapat disiap dalam masa sebulan sahaja meskipun dengan keadaan yang mencabar dan sumber terbatas.
Menurut HDB, memandangkan hanya pekerja dalam projek itu sahaja ditempatkan bersama, maka ini dapat mengurangkan risiko jangkitan dan jumlah pekerja yang perlu ulang-alik setiap hari.
Tambah HDB, meskipun dengan adanya TLQ, tenaga kerja yang ada bukanlah pada kapasiti sepenuhnya.
"Dengan hanya sekitar 60 peratus daripada pekerja diperlukan berada di tapak kerja pada Ogos tahun llau, HDB bekerja sama dengan China Construction untuk mengenal pasti bidang kerja utama untuk memanfaatkan pengerahan pekerja.
"Semua tenaga kerja yang ada dikerahkan untuk menyelesaikan kerja dalam flat dahulu - seperti mengecat dinding - sebelum beralih ke kerja di ruang bersama seperti taman dan taman permainan.
"Ini membantu mempercepatkan kerja menyelesaikan flat itu sebanyak dua bulan, dan membolehkan pembeli menerima kunci rumah mereka lebih awal," jelas HDB.
Selain itu, HDB menghulurkan bantuan menangani cabaran aliran tunai kontraktor.
Bagi mengurangkan bebanan mereka dalam tempoh mencabar itu, HDB telah memberikan pembayaran awal kepada China Construction dan berkongsi kos akibat daripada penangguhan projek itu.
Ini telah membantu mengurangkan perbelanjaan beroperasi bukan tenaga kerja kontraktor seperti menyewa peralatan, kos penyelenggaraan tapak dan penyewaan tempat simpanan di luar tapak.
Bantuan juga diberikan dari segi bahan apabila bekalan bahan binaan dari luar negara dijangka terjejas ketika kawalan sempadan diperketatkan pada awal tahun lalu.
Syarikat kontraktor telah mendapatkan bahan secara dalam negeri, seperti simen, sekali gus membolehkan kerja binaan diteruskan pada rentak yang memadai.
Secara keseluruhan, 25 projek perumahan telah diselesaikan sejak Januari tahun lalu - 11 projek selesai pada tahun lalu dan 14 lain diselesaikan pada tahun ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg