Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua tren baru LRT Bukit Panjang mula khidmat 1 Ogos

Aug 1, 2024 | 5:58 PM
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong mengambil swafoto bersama Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat; Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Murali Pillai; dan Anggota-anggota Parlimen GRC Holland-Bukit Timah, Dr Vivian Balakrishnan, Encik Liang Eng Hwa dan Encik Don Wee.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong mengambil swafoto bersama Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat; Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Murali Pillai; dan Anggota-anggota Parlimen GRC Holland-Bukit Timah, Dr Vivian Balakrishnan, Encik Liang Eng Hwa dan Encik Don Wee. - Foto ST

DUA daripada 19 gerabak baru untuk LRT Bukit Panjang (BPLRT), mula beroperasi pada 1 Ogos.

Dua lagi kenderaan generasi ketiga ini, tiba di Singapura pada Julai dan sedang menjalani ujian.

Baki 15 kenderaan rel ringan baru akan sampai ke Singapura menjelang akhir 2025, tepat pada masanya dalam pembaruan keseluruhan armada BPLRT menjelang 2026, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 1 Ogos.

Dilengkapi monitor LCD baru, gerabak baru itu akan mempunyai paparan peta berwarna dinamik – peningkatan daripada peta statik lama dengan titik berkelip untuk memberi isyarat di mana kereta api berada – membolehkan penumpang menjejaki laluan kenderaan dengan lebih baik.

LTA berkata penumpang juga boleh jangkakan sistem pendingin hawa yang dipertingkat dengan keupayaan penyejukan lebih baik dan pengagihan udara yang sekata ke seluruh kenderaan baru.

Peningkatan lain termasuk ciri pemantauan keadaan, untuk menjejak sistem dan penderia utama bagi menyediakan pemantauan rel di sepanjang landasan yang membekalkan kuasa kepada kereta api.

Ini akan membolehkan pengesanan awal dan pembaikan yang perlu, tambah LTA, dan juga membolehkan pengendali SMRT menjalankan penyelenggaraan awal apabila diperlukan.

Untuk pelancaran dua kereta api pertama itu, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, menaikinya bersama Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat; Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Murali Pillai; dan Anggota Parlimen GRC Holland-Bukit Timah, Dr Vivian Balakrishnan, dari Depoh Ten Mile Junction di Bukit Panjang ke stesen LRT Choa Chu Kang.

Bercakap kepada pemberita di depoh Ten Mile Junction, Encik Chee berkata keandalan BPLRT bertambah baik pada suku kedua 2024, dengan catatan perjalanan 204,000 gerabak-kilometer sebelum tergendala lebih lima minit.

Ini meningkat daripada 173,000 gerabak-kilometer dalam tempoh 12 bulan yang berakhir pada Mac, tetapi masih lebih rendah daripada 248,000 gerabak-kilometer yang dicatatkan pada 2023.

Kenderaan baru itu secara beransur-ansur akan menggantikan tren generasi pertama BPLRT, yang sebahagiannya telah beroperasi lebih 20 tahun, tambah LTA.

Tempoh siap pembaharuan BPLRT telah ditangguhkan selama dua tahun, dari 2024 hingga 2026, berikutan kekurangan tenaga kerja dan gangguan rantaian bekalan akibat pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, 13 tren BPLRT generasi kedua, juga sedang dinaik taraf, dengan separuh daripada armada dijangka siap menjelang pertengahan 2025.

Empat daripada kenderaan generasi kedua itu telah pun dipasang dengan sistem isyarat baru yang serupa dengan laluan MRT, dengan sistem sokongan, agar lebih boleh dipercayai, kata LTA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg