Meskipun mengharungi pelbagai cabaran dan keperitan hidup, dua wanita ini menghadapinya dengan tabah demi mengubah nasib keluarga sambil menyumbang kepada masyarakat yang lebih meluas.

Atas kecekalan luar biasa dan usaha gigih mereka mengatasi segala cabaran yang dihadapi, Pengurus Dasar di Kementerian Undang-Undang (MinLaw), Cik Siti Nurhumaira Azman, 26 tahun, dan Pegawai Kerja Sosial di Fellowship of Men Singapore, Cik Elizabeth Neo, 37 tahun, disampaikan Anugerah Perkasa Berita Harian (BH)-Maybank yang disampaikan buat kali pertama semasa majlis Anugerah Jauhari Berita Harian 2026.

Membesar dalam kesempitan kewangan, Cik Nurhumaira mula bekerja pada usia yang muda untuk membantu menyara hidup ibu dan adik-beradiknya sambil membiayai pengajian sendiri sehingga lulus dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dengan Kepujian Tertinggi.

Pada April 2026, kecekalan beliau diuji hebat apabila anak lelakinya yang baru berusia lapan bulan meninggal dunia akibat komplikasi atrofi otot spina (SMA).

Daripada berundur dalam kedukaan, beliau memilih keberanian berbanding berputus asa, dengan berkongsi perjalanan duka, pemulihan dan keyakinannya secara terbuka untuk meniupkan semangat kepada orang lain.

Bagi Cik Neo, kejayaan mengatasi kancah keperitan hidup, ketagihan dan kehidupan di sebalik jeriji besi penjara selama sedekad mendorong beliau mendedikasikan hidup kepada usaha memperkasa masyarakat.

Tidak gentar dengan gangguan kepada pendidikannya sebelum ini, beliau menyambung pengajian ke peringkat diploma dalam jurusan psikologi dan kini berkhidmat sebagai Pegawai Kerja Sosial di Fellowship of Men Singapore.

Pada 2024, beliau membuka pintu flat sewa satu biliknya untuk menawarkan perlindungan kepada seorang ibu dan tiga anak yang menjadi mangsa keganasan keluarga.

Kini, beliau tidak kenal penat lelah membimbing banduan serta bekas pesalah, sekali gus memperjuang harapan dan peluang kedua.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti