WANITA yang meninggalkan flatnya untuk membeli bubble tea di pusat beli-belah Causeway Point pada 23 Mac lalu walaupun selepas diberi notis Jangan Keluar Rumah (SHN) diuji positif Covid- 19.
Nurul Afiqah Mohammed, 22 tahun, sepatutnya mematuhi notis tersebut dari 21 Mac hingga 4 April namun keluar rumah beberapa kali langsung mendedahkan orang lain kepada virus tersebut.
Dia disahkan dijangkiti koronavirus selepas dihantar ke Hospital Khoo Teck Puat pada 12 April.
Nurul merupakan salah seorang daripada dua warga Singapura yang dihadapkan ke mahkamah semalam selepas didakwa melanggar notis SHN.
Seorang lagi yang didakwa ialah Mohd Noor Salam Mohd Yusof, 40 tahun.
Nurul Afiqah juga dituduh keluar ke Punggol Field untuk membantu temannya membuat persiapan untuk majlis perkahwinan pada 2 dan 3 April, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Isi rumah teman-temannya turut hadir dalam kededua insiden tersebut.
Nurul menghadapi tujuh tuduhan secara keseluruhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit.
Mahkamah diberitahu semalam bahawa dia berniat untuk mengaku salah.
Kesnya akan dibicarakan lagi pada 22 Januari.
Sementara itu, Noor Salam dituduh mengunjungi beberapa lokasi semasa dikenakan SHN antara 26 Mac dan 10 April.
Pada 31 Mac, dia dikatakan telah menaiki pengangkutan awam untuk mengunjungi rumah ibunya di Choa Chu Kang dan Balai Polis Kejiranan Choa Chu Kang.
Pada 2 April, dia didakwa meninggalkan rumah ibunya dan mengunjungi cawangan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Choa Chu Kang, dan Kopitiam di Limbang.
Dia juga dikatakan telah berada di kawasan Pusat Beli-Belah Limbang.
Noor Salam didakwa di bawah Peraturan Penyakit Berjangkit (Covid-19-Perintah Jangan Keluar Rumah) 2020.
Dia dikatakan mahu mengaku bersalah dan akan kembali ke mahkamah pada 21 Januari.
ICA mengingatkan orang awam agar mematuhi syarat-syarat notis SHN demi menjaga kesihatan dan keselamatan masyarakat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg