Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua warga S’pura maut selepas kanu dinaiki terbalik di Afrika Selatan

Jun 20, 2023 | 6:54 PM
RAGUT NYAWA: Dua pelancong warga Singapura terkorban selepas kanu yang mereka naiki terbalik di Crocodile River, dekat dengan Empangan Hartbeespoort di Afrika Selatan.
RAGUT NYAWA: Dua pelancong warga Singapura terkorban selepas kanu yang mereka naiki terbalik di Crocodile River, dekat dengan Empangan Hartbeespoort di Afrika Selatan. - Foto GETTY IMAGES

Dua pelancong warga Singapura maut di Afrika Selatan selepas kanu yang dinaiki mereka terbalik pada Ahad.

Dalam satu kenyataan oleh Institut Menyelamat Laut Negara (NSRI), mangsa tersebut, seorang lelaki dan seorang wanita, merupakan sebahagian daripada 20 pelancong warga Singapura yang sedang berkanu di Crocodile River sambil ditemani enam pemandu pelancong tempatan.

NSRI adalah badan yang menyelamatkan mangsa yang berada dalam bahaya di kawasan perairan pantai dan perairan pedalaman di Afrika Selatan.

Media Afrika Selatan melaporkan kumpulan pelancong itu telah bertolak dari kem berdekatan Taman Singa dan Safari di Broederstroom, sekitar sejam perjalanan kereta dari Johannesburg.

Jurucakap NSRI, Encik Craig Lambinon, berkata kejadian itu berlaku antara Taman Singa dan Safari serta Empangan Hartbeespoort, lapor The Straits Times (ST).

Pasukan NSRI di Empangan Hartbeespoort, Unit Menyelamat Strategik dan Khidmat Polis Afrika Selatan memberi respons ke atas kejadian itu sekitar 2.40 petang.

Beliau menambah anggota penyelamat dan paramedik dikerahkan ke lokasi.

“Semasa tiba ke lokasi, anggota paramedik melaksanakan Bantuan Pernafasan Kecemasan (CPR) kepada seorang lelaki dan seorang wanita dewasa. Sungguhpun segala usaha telah dilakukan kepada mangsa, kedua-duanya... disahkan meninggalkan dunia,” katanya.

NSRI menjelaskan empat kanu yang dinaiki lapan pelancong turut terbalik.

Enam pelancong dan dua pemandu pelancong tempatan memerlukan bantuan tatkala diselamatkan, manakala 12 pelancong lain dilaporkan selamat, tambah kenyataan itu.

Seramai lapan pelancong Singapura telah jatuh ke dalam sungai apabila kanu mereka terbalik, dengan pemandu pelancong terjun ke air untuk menyelamatkan mereka, kata Encik Lambinon.

Apabila pihak berkuasa tiba, seramai enam pelancong dan dua pemandu pelancong lelaki masih berada di dalam sungai dan diselamatkan menerusi usaha bersama. Pemandu pelancong lain cuba menyedarkan dua warga Singapura, yang kemudian disahkan meninggal dunia itu.

Dua pemandu pelancong itu dalam keadaan tidak sedar apabila dibawa ke darat dan dilaporkan sedang pulih di hospital. Sementara itu, enam pelancong telah dirawat bagi kecederaan. Lagi 12 pelancong tidak cedera.

Encik Lambinon berkata pihak polis Afrika Selatan telah membuka doket inkues, iaitu siasatan kehakiman untuk memastikan fakta berkaitan kematian luar biasa. Beliau menambah pengendali pelancongan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan membantu mereka yang terjejas.

Apabila dihubungi Berita Harian, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata ia sedang memberi bantuan konsular kepada keluarga yang terjejas, menerusi Suruhanjaya Tinggi Singapura di Pretoria. MFA juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Semasa tiba ke lokasi, anggota paramedik melaksanakan Bantuan Pernafasan Kecemasan (CPR) kepada seorang lelaki dan seorang wanita dewasa. Sungguhpun segala usaha telah dilakukan kepada mangsa, kedua-duanya... disahkan meninggalkan dunia.”
Encik Craig Lambinon, jurucakap Institut Menyelamat Laut Negara (NSRI).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg