LANGKAH terkini Amerika Syarikat melindungi industri domestiknya menimbulkan kemungkinan perang balas perdagangan, justeru negara dunia harus terus menggalak dan mengamalkan dagangan bebas.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, dalam Singapura rasa kesan daripada langkah dagangan Amerika itu, beliau prihatin amalan tersebut telah diwujudkan dan negara lain kini "rasa tekanan untuk bertindak balas", lapor akhbar The Straits Times semalam.

"Jika kepercayaan tersebut dihapuskan dan perang dagangan balas meletus, semua negara, besar atau kecil, akan merana.

"Justeru, adalah lebih genting bagi Australia dan Singapura bekerjasama dengan negara yang berfikiran sama menegakkan sistem Pertubuhan Dagangan Sedunia (WTO) dan menggalak pelonggaran dagangan dan penyatuan ekonomi serantau," ujarnya.

Kenyataan Encik Lee itu merupakan respons bertulis bagi soalan yang diaju media Australia menjelang lawatannya ke Sydney yang bermula kelmarin.

Encik Lee menyatakan demikian di tengah-tengah kekecohan global ekoran pengumuman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenakan tarif ke atas import keluli dan aluminium.

"Sama ada kita melabel pentadbiran Trump sebagai mengamalkan dasar perlindungan atau tidak, jelas mereka mengambil pendekatan radikal dan berbeza terhadap perdagangan," ujar Encik Lee.

Selain tarif terkini, Amerika juga mengambil langkah melindungi industri panel solarnya tahun ini.

Menekankan pentingnya negara menolak gelombang dasar perlindungan, Encik Lee menambah bahawa Singapura gembira dengan pemeteraian Perjanjian Progresif dan Menyeluruh bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) - perjanjian perdagangan yang pada awalnya melibatkan Amerika - sebelum Encik Trump menarik diri.

CPTPP, yang ditandatangani 11 anggota, ialah perjanjian "bermutu tinggi" yang akan menetapkan piawaian baru bagi perjanjian dagangan bebas, ujar Encik Lee.

"Pintu terbuka buat Amerika, China dan negara lain menyertai apabila mereka bersedia menerima piawaian CPTPP.

"Saya berharap Amerika akan mencari jalan menyertainya satu hari nanti, meskipun saya tidak menjangka secara realitinya yang ini akan berlaku pada masa terdekat," ujar Encik Lee.

Dalam jawapannya berkaitan hubungan Singapura-Australia pula, beliau berkata hubungan tersebut kukuh dan meliputi pelbagai bidang, berdasarkan minat dan perspektif strategik serupa.

Hubungan pertahanan dua hala terus diperkukuh, dengan Singapura melabur hingga A$2.25 bilion ($2.3 bilion) bagi membangunkan bersama bidang latihan dan kemudahan di Queensland.