Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dyson akan bina loji bateri baru di S'pura bagi pembangunan AI, perisian

May 3, 2023 | 1:43 PM
Kilang baru Dyson itu akan siap pada 2023 dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2025.
Kilang baru Dyson itu akan siap pada 2023 dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2025. - DYSON

SYARIKAT gergasi elektronik pengguna Dyson akan membuka kilang di Tuas untuk mengeluarkan bateri generasi akan datang bagi produk baru syarikat itu. Ia menyifatkan langkah tersebut sebagai "pelaburan paling penting dalam perkilangan termaju (advanced manufacturing) dalam sejarah firma itu". Kemudahan baru itu, seluas 247,000 kaki persegi, atau bersamaan dengan 53 gelanggang bola keranjang, akan siap pada 2023 dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2025. Ia sebahagian daripada langkah lebih luas untuk meningkatkan pembangunan produk, kecerdasan buatan (AI) dan perisian secara global yang akan melihat Dyson menggandakan jejak perkilangannya di seluruh dunia. Syarikat yang mempunyai ibu pejabat di Singapura itu juga akan melabur di tapak baru di Britain dan Filipina yang memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), antara keupayaan lain. Perkembangan terkini itu adalah sebahagian daripada rancangan pelaburan lima tahun bernilai £2.75 bilion ($4.6 bilion) yang sedang berterusan, kata Dyson pada Rabu. Pengasasnya, Encik James Dyson, berkata: "Perisian, ketersambungan, AI dan bateri teknologi baru proprietari akan menjana teknologi Dyson generasi akan datang. "Sama seperti pelaburan jangka panjang kami dalam merintis teknologi motor elektrik digital, bateri generasi akan datang Dyson akan memacu revolusi besar dalam prestasi dan kemampanan mesin Dyson." Sedang syarikat tersebut tidak mendedahkan nilai pelaburan lojibateri baru di Singapura itu, seorang jurucakap berkata: "Pelaburan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami bernilai $1.5 bilion untuk masa depan kami di Singapura." Loji berteknologi tinggi itu akan menghasilkan bateri proprietari yang lebih kecil, lebih ringan, lebih mampan dan lebih padat tenaga daripada yang ada hari ini, kata jurucakap itu. Dyson mula membangunkan bateri sendiri lebih sedekad lalu. "Pengembangan perkilangan termaju kami di Singapura akan membolehkan Dyson membawa teknologi bateri baru ke pasaran," kata ketua eksekutif Dyson, Encik Roland Krueger, yang turut memuji tenaga kerja berkemahiran tinggi Singapura yang terdiri daripada jurutera dan saintis, dan pemerintah yang menyokong. Dyson kini mengendalikan kemudahan perkilangan termaju di barat Singapura yang mengeluarkan motornya. Rancangan untuk kemudahan perkilangan termaju Singapura yang sedia ada kekal tidak berubah, kata jurucakap itu. Selain Singapura, Dyson juga akan membuat pelaburan £166 juta di Filipina dan £100 juta lagi di Britain untuk kampus R&D baru, atau apa yang ia sebut sebagai "pusat teknologi". Tapak Filipina itu dijangka beroperasi pada separuh pertama 2024 dan akan menyatukan penyelidikan, pembangunan dan keupayaan pembuatan motor termajunya di bawah satu bumbung. Ia terletak di Santo Tomas, Batangas, kira-kira 60 kilometer ke selatan ibu kota Manila. Sebagai sebahagian daripada pelaburan ini, Dyson menyasarkan untuk mengambil 400 lagi jurutera di Filipina, bersama lebih 50 jurutera yang baru tamat pengajian, yang dijangka menyertai pasukan itu kemudian pada hujung 2023. Mereka akan menumpukan penyelidikan mereka pada perisian, AI, robotik dan elektronik perkakasan, bidang pengajian yang pentiNg untuk membangunkan produk syarikat itu. Di Britain, pusat Bristol baru akan menempatkan jurutera AI dan perisian yang mengusahakan produk yang menjangkau sedekad ke masa hadapan, serta pasukan komersial dan e-dagang untuk Britain dan Ireland. Ini berikutan pelaburan Dyson pada 2022 dalam sebuah pusat di Wiltshire yang tertumpu pada barang boleh pakai dan robotik. Dyson menggajikan lebih 14,000 kakitangan di 80 negara, dengan kira-kira 1,400 di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg