SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

E-buku bantu anak dijangkiti Covid-19 faham proses pulih

E-buku bantu anak dijangkiti Covid-19 faham proses pulih

Mar 7, 2022 | 5:30 AM

E-buku bantu anak dijangkiti Covid-19 faham proses pulih

102145d2-5877-4df3-b7ec-e3fb50dab4eb
-

MEMANDANGKAN lebih ramai kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dijangkiti Covid-19, e-buku baru percuma bagi kanak-kanak tersedia untuk membantu mereka dan keluarga memahami proses pemulihan.

What Do I Do If I'm Covid Positive? ialah e-buku kedua yang ditulis oleh Cik Emily Lim-Leh dan diilustrasi oleh Encik Josef Lee, tentang menangani virus itu. E-buku yang pertama, I Can Recover At Home!, telah dikeluarkan pada November tahun lalu.

Sejak itu, protokol kesihatan telah berubah dan Kementerian Kesihatan mendekati pasukan itu untuk menghasilkan buku ini, yang melengkapkan buku pertama, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Terdapat juga cabaran mengeluarkannya dengan pantas dengan protokol dan maklumat kesihatan terkini, tambah Cik Lim-Leh, 50 tahun, yang telah menerbitkan lebih 40 buku kanak-kanak.

Encik Lee, 42 tahun, pula seorang ilustrator berpengalaman dan pengarah kreatif sepenuh masa di sebuah studio reka bentuk dan animasi.

Buku Covid-19 adalah projek sukarela bagi mereka berdua.

Kali ini, kisah mereka menceritakan proses pemulihan seorang budak lelaki berusia sembilan tahun yang terpaksa tinggal di fasiliti rawatan Covid-19 bersama ibunya.

Ia juga menceritakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang mengalami gejala ringan yang dirawat oleh doktor keluarganya dan boleh pulih di rumah. Dia mahu berdikari dan memilih mengasingkan diri di dalam bilik tidur.

Tetapi semangatnya jatuh apabila dia masih diuji positif selepas beberapa hari. Dia kemudian dengan senang hati menerima tawaran ibunya berpindah ke biliknya bersamanya sehingga dia pulih.

"Ibu bapa dan anak-anak akan dapat mengenal pasti senario ini," kata Dr Darryl Lim, pakar perunding pediatrik di Klinik Kinder di Pusat Perubatan Mount Alvernia.

Dr Lim telah menyarankan e-buku pertama dan bekerjasama dengan Cik Lim-Leh dan Encik Lee.

Beliau juga memberikan perspektif pakar pediatrik untuk e-buku kedua, manakala Kementerian Kesihatan berkongsi input perubatan.

Cik Lim-Leh berkata tajuk baru itu diterima baik oleh masyarakat, dengan mencapai 30,000 muat turun daripada blognya dalam tempoh lima hari selepas pelancaran pada 20 Februari.

Sebuah sekolah antarabangsa di Kemboja juga telah menghantar e-mel untuk mendapatkan kebenaran menterjemahkan buku tersebut untuk kanak-kanak di negara itu.

Baru-baru ini, sebuah sekolah di Hong Kong memaklumkan kepada pasukan itu bahawa ia sedang mengedarkan buku pertama. Terdapat peningkatan seterusnya sebanyak 4,000 muat turun, menjadikan muat turun buku itu melebihi 20,000.

Beliau menambah:

"Fokus utama e-buku baru kami adalah berkongsi bahawa klinik pengamal am kejiranan, poliklinik, klinik pediatrik dan penyedia teleperubatan, kini akan dapat menjaga kanak-kanak yang dinilai berisiko rendah yang menunjukkan gejala ringan.

"Ini membolehkan doktor keluarga terus menjaga kanak-kanak dan keluarga mereka dalam persekitaran biasa. Ia juga membolehkan hospital, pusat penjagaan dan sumber penjagaan kesihatan memberi tumpuan kepada mereka yang berisiko tinggi atau mempunyai gejala lebih teruk."

Orang ramai boleh muat turun e-buku What Do I Do If I'm Covid Positive? secara percuma daripada blog Cik Emily Lim-Leh. Mereka juga boleh membacanya di Facebook Encik Josef Lee.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg